Pemain Skuasy No.1 Negara Tersenarai Dalam Forbes 30 Under 30 Asia
May 17, 2024 Hafizuddin Omar

Kehebatan pemain skuasy wanita No.1 negara, Sivasangari Subramaniam akhir-akhir ini bukan sahaja menarik perhatian peminat tempatan dan antarabangsa bagi sukan tersebut bahkan majalah perniagaan berpangkalan di Amerika Syarikat iaitu Forbes.

Ianya susulan pemain berusia 25 tahun berasal dari Sungai Petani, Kedah itu dimasukkan ke dalam senarai Forbes 30 Under 30 Asia 2024 – senarai yang menghimpunkan 300 individu berusia 30 tahun ke bawah yang memacu inovasi dan mentransformasikan industri di rantau asia pasifik.

Sivasangari yang meraih gelaran pertama dalam kariernya di kejohanan Skuasy Klasik London 2024 – salah satu kejohanan Jelajah Dunia Emas PSA – pada awal April lalu merupakan salah satu daripada 18 atlet yang dimasukkan dalam senarai berkenaan di bawah kategori Hiburan dan Sukan.

Antara atlet lain yang tersenarai ialah Josh Cavallo (pemain bola sepak Australia), Lam San-tung & Wong Wai-chun (pendayung Hong Kong), Huang Yuting (penembak China), Park Hye-jeong (atlet angkat berat Korea), Oh Sang-uk (pemain pedang Korea) dan Veronica Shanti Pereira (atlet pecut Singapura). 

Senarai itu diikuti dengan Pan Zhanle (perenang China), Wang Chuqin, Sun Yingsha (pemain ping-pong China), Yin Ruoning (pemain golf China), Zheng Qinwen (pemain tenis China), Atthaya Thitikul (pemain golf Thailand) dan Theara Thoeun (peninju Kemboja).

Melengkapkan senarai ini ialah Roki Sasaki (pemain besbol), Hwang Sun-woo (perenang Korea) dan Kokona Hiraki (pemain papan luncur Jepun).

Komen