Terbuka Thailand: Zii Jia Akhiri Kemarau Ke Pentas Final Selepas 7 Bulan
May 18, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berhasil merakamkan kemaraan ke perlawanan akhir buat julung kalinya selepas sekitar tujuh bulan.

Kali terakhir Zii Jia beraksi di perlawanan akhir dalam kejohanan yang disertainya adalah di Terbuka Denmark mendekati penghujung Oktober tahun lalu.

Kemaraan itu dilakarnya dengan menumpaskan pemain yang menduduki ranking ke-14 dunia dari Chinese Taipei, Chou Tien Chen pada peringkat separuh akhir Terbuka Thailand, hari ini.

Dalam pertarungan terbabit, Zii Jia, 26 tahun, melakar kemenangan menerusi skor 18-21, 21-12 dan 21-13 selepas berhempas pulas selama 66 minit di Stadium Nimibutr.

Pada masa yang sama, hasil daripada kemenangan terbabit, rekod pertemuan Zii Jia dan Tien Chen di pentas antarabangsa kini menjadi seimbang dengan lima kemenangan masing-masing daripada sepuluh pertemuan.

Sementara itu, pada perlawanan akhir kelak, Zii Jia akan bertemu perseorangan Hong Kong bimbingan bekas Pengarah Kejurulatihan (Perseorangan) BAM, Wong Choong Han iaitu Ng Ka Long Angus untuk merebut kejuaraan salah satu siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500.

Terdahulu, Angus mengesahkan tempat ke perlawanan akhir selepas menundukkan wakil tuan rumah, Kunlavut Vitidsarn menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 21-14, 18-21 dan 21-19.

Berdasarkan rekod, Zii Jia  pernah berentap menentang Angus sebanyak tujuh kali, dimana, hanya tiga daripadanya berakhir dengan kemenangan.

Untuk makluman semua, kali terakhir Zii Jia bergelar juara dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF ketika beraksi di Terbuka Arktik – bertaraf Super 500 – sekitar pertengahan Oktober tahun lalu.

Featured Image: Sathio Group Australian Badminton Open

Komen