Justin Hoh Rangkul Kejuaraan Terbuka Slovenia 2024 – Raih RM2,343
May 20, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan badminton lelaki tanah air yang berusia 20 tahun, Justin Hoh menambah satu lagi koleksi pingat emasnya dalam acara individu apabila berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Slovenia 2024.

Lebih mengagumkan, kejuaraan tersebut dirangkulnya, dua bulan selepas kembali beraksi secara kompetitif susulan rehat panjang ekoran ditimpa kecederaan achilles sejak April tahun lalu.

Gelaran juara bagi kejohanan Gred 3 di bawah kelolaan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu dirangkul Justin dengan menumpaskan pemain Indonesia, Prahdiska Bagas Suhiwo dalam perlawanan akhir yang berlangsung malam tadi (waktu Malaysia).

Pertarungan itu menyaksikan Justin meraih kemenangan ke atas pemain yang menghuni ranking ke-265 dunia terbabit menerusi tiga set permainan yang berskor 19-21, 21-11 dan 21-15 dalam tempoh masa satu jam dan empat minit.

Sebelum itu, Justin mengesahkan kemaraan dengan menyingkirkan Tharun Mannepalli (India, ranking ke-138), Eogene Ewe (Malaysia, ranking ke-207), Muhammad Reza Al Fajri (Indonesia, ranking ke-455), Dumindu Abeywickrama (Sri Lanka, ranking ke-171) dan Bharat Raghav (India, ranking ke-132).

Hasil daripada merangkul kejuaraan ini, Justin turut menerima habuan wang tunai bernilai AS$500 (bersamaan sekitar RM2,343.00) serta pungutan sebanyak 2,500 mata untuk dimasukkan dalam pengiraan pelbagai ranking oleh BWF.

Untuk makluman, Justin yang menghuni ranking ke-179 dunia pada ketika ini merupakan perseorangan lelaki kedua yang merangkul kejuaraan di Terbuka Slovenia selepas Ramdan Misbun pada tahun 2013.

Featured Image: Badmintonska zveza Slovenije – Badminton Association of Slovenia

Komen