Masih Banyak Yang Saya Ingin Tunjukkan – Reziq Banihani
May 21, 2024 Hafizuddin Omar

Kelajuan dan kelincahan penyerang muda Jordan, Reziq Banihani pantas menjadi sebutan penyokong-penyokong Gergasi Merah selepas dimasukan di penghujung perlawanan ketika menentang Kedah Darul Aman FC, Sabtu lalu.

Malahan kemasukan pemain berusia 22 tahun menggantikan Yohandry Orozco pada minit ke-70 turut menghadirkan beberapa percubaan yang berbahaya terhadap gawang skuad Sang Kenari yang dikawal oleh Kalamullah Al-Hafiz.

Kemuncaknya, Reziq membalas kepercayaan yang diberikan ketua jurulatih, Nidzam Jamil dengan menghasilkan gerakan yang menjelmakan gol tunggal perlawanan, disudahkan oleh Aliff Haiqal pada minit 84 permainan.

Reziq dalam temubual meluahkan rasa syukur dan teruja atas sumbangan dalam debutnya yang berjaya membantu Selangor mendapatkan tiga mata pertama dalam saingan Liga Super bagi musim ini.

“Saya sangat gembira dengan pasukan ini, kami ibarat keluarga dan mereka menyambut saya seperti keluarga yang sudah lama disini,” jelas Reziq.

“Saya juga sangat teruja dengan penyokong kelab ini dan saya berharap mereka dapat datang setiap perlawanan kerana masih banyak yang saya ingin tunjukkan,” tambah Reziq.

Pada masa yang sama, Nidzam turut gembira dengan sikap dan tempo yang ditampilkan oleh Reziq kerana budaya sokongan di negara ini adalah sesuai dengan corak permainan yang ditunjukkan bekas pemain Al Faisaly SC itu.

“Saya suka dengan tempo yang dia bagi, di negara ini apa sahaja tempo yang anda beri jikalau anda ke hadapan dan menyerang penyokong akan sentiasa menyokong di belakang anda,” ujar Nidzam. 

“Jadi ini sangat penting juga kepada dia (Reziq), untuk faham budaya taktikal di sini dan sekali lagi saya sangat gembira dengan prestasi ini kerana dia berjaya menukar satu perkara iaitu tempo,” tambahnya lagi.

Untuk aksi seterusnya, Selangor akan menantikan kunjungan Negeri Sembilan FC di Stadium MBPJ pada 26 Mei nanti untuk aksi ketiga Liga Super.

Featured Image: Selangor FC

Komen