Bersempena dengan berlangsungnya Malaysia Masters 2024 pada minggu ini, Touch ‘n Go tampil menawarkan satu produk eksklusif buat peminat badminton dan penonton yang hadir menyaksikan kejohanan itu di Axiata Arena, Bukit Jalil.
Produk tersebut adalah Touch ‘n Go Charm Sports Edition berbentuk bulu tangkis dengan sokongan cip NFC (near-field communication) untuk digunakan bagi pembayaran tol, parkir dan sebagainya.
Bagi yang berminat untuk mendapatkannya, Charm Bulu Tangkis tersebut dijual di reruai (booth) Touch ‘n Go yang terletak bersebelahan dengan kedai Subway, di dalam Axiata Arena.
Baca: Touch ‘n Go Kini Mempelbagaikan Penawaran Produk Dengan NFC – Tidak Lagi Terhad Kepada Kad Sahaja
Dengan reka bentuk sebegitu, Charm Bulu Tangkis yang boleh dijadikan sebagai aksesori hiasan untuk dipasang pada gugusan anak kunci, beg atau dompet ini dijual pada harga RM30 seunit.
Sebelum ini, Touch ‘n Go pernah menawarkan Charm berbentuk kucing, naga serta beberapa keluaran sempena perayaan krismas, tahun baru cina dan hari raya aidilfitri.
Sebagai tambahan, saingan Malaysia Masters 2024 yang merupakan salah satu siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini berlangsung dari 21hb hingga 26hb Mei dengan tawaran hadiah wang tunai berjumlah AS$420,000 (bersamaan RM1.97 juta).