ESM, Universiti Malaya Jalin Kerjasama Bangunkan Sukan Pickleball Di Malaysia
May 23, 2024 Hafizuddin Omar

Sukan baharu yang menggabungkan elemen-elemen daripada tenis, badminton dan ping-pong iaitu pickleball kian mendapat perhatian dalam kalangan rakyat Malaysia.

Sehubungan itu, sebuah firma sukan tempatan iaitu ESM Internationale tampil mengadakan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM) bagi mengorak langkah untuk membangunkan dan mengembangkan lagi pickleball di negara ini.

Satu memorandum persefahaman (MoU) melibatkan kedua-dua pihak telah ditandatangani baru-baru ini sekaligus menyaksikan ESM Internationale diiktiraf secara rasmi sebagai Rakan Strategik Industri Sukan UM.

Pada masa yang sama, MoU itu akan memberikan keutamaan kepada usuaha untuk meletakkan UM sebagai Hab Pickleball utama bukan sahaja di Malaysia malah rantau Asia.

Inisiatif ini bertujuan untuk menjadikan UM sebagai peneraju pickleball yang kian berkembang saban hari sekaligus memupuk pertumbuhan dan penyertaan serantau.

MoU terbabit ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UM, Prof Ir. Dr. Ramesh Singh mewakili pihak Universiti Malaya dan Ketua Pegawai Operasi (COO) ESM Internationale, Azzairi Rosle sambil disaksikan oleh Pengarah Pusat Sukan UM, Afizal Abu Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ESM Internationale, Faizal Othman. 

Pada saat ini, sebanyak 13 gelanggang khusus untuk pickleball – tujuh gelanggang terbuka, enam gelanggang tertutup – diberikan nama ESM Pickleball Arena tersedia di Pusat Sukan UM dibuka untuk tempahan oleh staf-staf, para penuntut serta orang ramai yang ingin mencuba dan bermain sukan ini.

Dimaklumkan untuk gelanggang terbuka, ianya dibuka untuk tempahan setiap hari bermula dari 7 pagi hingga 11 malam. Harga tempahan untuk satu slot bagi sesi 7 pagi hingga 7 malam adalah RM30/jam manakala slot bagi sesi 7 malam hingga 11 malam pula RM40/jam.

Bagi gelanggang tertutup, waktu operasinya adalah sepeti berikut:

  • Isnin – Khamis: 8 pagi hingga 4 petang
  • Jumaat: 8 pagi hingga 4 petang (Sesi 1), 8 malam hingga 11 malam (Sesi 2)
  • Sabtu – Ahad: 8 pagi hingga 11 malam

Harga bagi setiap slot untuk kesemua gelanggang tertutip adalah RM50/jam.

Sementara itu, menjelaskan mengenai kerjasama ini dengan lebih lanjut, MoU itu juga akan memberikan tumpuan terhadap tiga perkara utama iaitu pembangunan sukan, pembangunan bakat serta pembangunan fasiliti. 

Antara perkara lain, kedua-dua pihak akan bekerjasama dalam hal-hal yang lain termasuk peluang kerjaya dalam industri sukan, projek penyelidikan & pembangunan (R&D), penyelidikan akademik dan penganjuran acara sukan domestik serta antarabangsa.

View this post on Instagram

A post shared by Padang Bola Sepak 🇲🇾 (@padangbolasepak)

Komen