Malaysia Masters: Soon Huat-Shevon Ke Suku Akhir, Jumpa Beregu No.3 Indonesia
May 23, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai memastikan kempennya berlanjutan ke peringkat suku akhir dalam saingan Malaysia Masters 2024.

Ianya susulan berhasil menundukkan lawannya dari Chinese Taipei, Yang Po-hsuan dan Hu Ling-fang pada pusingan 16 dalam aksi yang berlangsung di Axiata Arena, hari ini.

Dalam pertarungan terbabit, Soon Huat-Shevon merakamkan kemenangan ke atas  penghuni ranking ke-28 itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 17-21, 21-19 dan 21-13 dalam tempoh masa 50 minit.

Sementara itu, pada peringkat suku akhir kelak, Soon Huat-Shevon yang berada di tangga ke-18 dunia akan menantikan cabaran daripada gandingan campuran Indonesia, Rehan Naufal dan Lisa Ayu.

Pasangan yang menduduki ranking ke-21 dunia itu mengesahkan kemaraan ke suku akhir selepas menyingkirkan beregu Denmark, Mads Vestergaard dan Christine Busch secara “straight set” 21-17 dan 21-16 dalam tempoh 33 minit.

Berdasarkan rekod, Soon Huat-Shevon dan Rehan-Lisa dilihat pernah berentap sebanyak enam kali secara keseluruhan sebelum ini.

Bagaimanapun, rekod pertemuan Soon Huat-Shevon bertemu gandingan tersebut tampak kurang memuaskan dengan sekadar merekodkan dua kemenangan dan tewas baki empat pertarungan yang lain.

Sebagai tambahan, pencapaian terbaik Soon Huat-Shevon di kejohanan adalah mara ke peringkat separuh akhir pada Malaysia Masters edisi tahun 2018.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen