Malaysia Masters: Arif-Roy King Kejutkan Semi-finalis All England
May 23, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu No.2 Chinese Taipei yang melakar kemaraan sehingga ke peringkat separuh akhir di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2024, Lee Jhe-huei dan Yang Po-hsuan tidak dapat mara jauh dalam saingan Malaysia Masters 2024.

Tidak seperti di All England yang berlangsung pada Mac lalu, kempen mereka dalam saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini menemui titik noktahnya pada pusingan 16 gara-gara dikejutkan oleh beregu lelaki No.6 negara, Wan Arif Junaidi dan Yap Roy King, hari ini.

Dalam pertarungan yang memakan masa hampir satu jam terbabit, penghuni ranking ke-12 dunia itu terpaksa akur tewas Arif-Roy King dengan keputusan 13-21, 21-15 dan 21-18 sambil disaksikan ribuan penonton di Axiata Arena.

Susulan itu, tiket kemaraan ke peringkat suku akhir dibolot oleh Arif-Roy King – kemaran sulung ke peringkat tersebut bagi kejohanan bertaraf Super 500 – sejak bergandingan bermula awal tahun lalu.

Sementara itu, menanti mereka pada suku akhir esok adalah beregu Denmark yang menghuni ranking ke-18 dunia, Frederik Søgaard dan Rasmus Kjær.

Terdahulu, gandingan No.2 Denmark itu mara setelah menyingkirkan Kim Gi-jung dan Kim Sa-rang dari Korea secara “straight set” menerusi skor 21-16 dan 21-18 dalam tempoh 43 minit.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen