Malaysia Masters: Zii Jia, Kawan Karib Berentap Di Suku Akhir
May 23, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia akan berentap menentang rakan karibnya sendiri, Anders Antonsen pada peringkat suku akhir Malaysia Masters 2024.

Pertembungan itu terhasil selepas Zii Jia kelahiran Alor Setar, Kedah berjaya menundukkan lawannya, Kiran George dari India pada pusingan 16, sebentar tadi.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia yang meraih gelaran Terbuka Thailand pada minggu lalu melakar kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-18 sekaligus melangkau pencapaiannya dalam kejohanan ini pada musim lalu – kandas pusingan 16.

Sementara itu, Antonsen dari Denmark pula mengesahkan kemaraan ke peringkat yang sama selepas menyingkirkan rakan sengaranya, Magnus Johannesen secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-10 dalam tempoh 43 minit.

Bercakap mengenai pertembungan Zii Jia dan Antonsen di kejohanan antarabangsa, kedua-duanya pernah berentap sebanyak tujuh kali.

Bagaimanapun rekod Zii Jia bertemu Antonsen tidak begitu baik dengan tumpas sebanyak lima kali.

Zii Jia hanya meraih kemenangan dalam dua pertemuan iaitu dalam saingan Malaysia Masters 2020 serta Terbuka Arktik 2023 susulan Antonsen memberhentikan permainannya pada set kedua. 

Pada masa yang sama, Antonsen yang kini berada pada ranking keempat dunia berada dalam prestasi terbaiknya terutamanya pada tahun ini dengan meraih kejuaraan Terbuka Malaysia 2024, Indonesia Masters 2024 serta Kejohanan Eropah 2024.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen