Malaysia Masters: Beregu Campuran No.1 & No.2 Negara Rebut Tiket Akhir
May 24, 2024 Hafizuddin Omar

Pertembungan melibatkan beregu campuran No.1 dan No.2 negara iaitu Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei serta Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai bakal mewarnai saingan separuh akhir Malaysia Masters 2024, esok.

Kedua-dua beregu di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan persendirian (independent) masing-masing itu mengesahkan tempat ke peringkat terbabit selepas mencatatkan kemenangan ke atas lawan masing-masing, hari ini.

Tang Jie-Ee Wei yang menghuni ranking kesembilan dunia terlebih dahulu mengesahkan kemaraan susulan menumpaskan beregu senegara yang juga bergerak secara bersendirian (independent), Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 21-14 dalam tempoh masa 39 minit.

View this post on Instagram

A post shared by BAM (@ba_malaysia)

Tidak lama kemudian, Soon Huat-Shevon menyusul selepas bertarung selama satu jam dan sepuluh minit untuk menyingkirkan beregu Indonesia yang menduduki ranking ke-21 dunia, Rehan Naufal dan Lisa Ayu menerusi skor 12-21, 21-17 dan 21-17.

Pertembungan Tang Jie-Ee Wei dan Soon Huat-Shevon pada hari esok bakal menjadi yang keempat buat kedua-duanya di pentas antarabangsa.

Sebelum ini, rekod menunjukkan mereka telah bertemu sebanyak tiga kali dimana Soon Huat-Shevon berjaya meraih dua kemenangan sementara Tang Jie-Ee Wei hanya melakar satu kemenangan – pada pertemuan terakhir mereka di Terbuka Swiss 2024.

Pada masa yang sama, pertemuan kedua-dua beregu ini di peringkat separuh akhir mengesahkan sekurang-kurangnya satu wakil Malaysia akan beraksi pada perlawanan akhir saingan ini yang merupakan salah satu daripada siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen