Malaysia Masters: Zii Jia Singkir Kawan Karib, Ke Separuh Akhir Super 500
May 24, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berhasil melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir Malaysia Masters 2024 – sekaligus mengulangi pencapaiannya ketika beraksi di kejohanan yang sama pada edisi tahun 2020.

Pada edisi kali ini, pemain yang menghuni ranking kesepuluh dunia itu mengesahkan kemaraan tersebut dengan menumpaskan rakan karibnya dari Denmark, Anders Antonsen pada peringkat suku akhir, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia terlebih dahulu meraih kemenangan pada set pertama dengan skor 21-15 sebelum Antonsen bangkit mencatatkan pada set kedua menerusi pungutan mata 21-19.

Kedudukan itu sekaligus mengheret permainan ke set penentuan namun Zii Jia berjaya memastikan tiket kemaraan itu menjadi miliknya apabila menoktahkan permainan dengan skor 21-11.

Pertembungan kelapan melibatkan Zii Jia dan Antonsen itu di pentas antarabangsa itu menjangkau satu jam dan setengah lamanya – terpanjang pernah direkodkan sepanjang mereka berentap di atas gelanggang.

Susulan kemenangan terbabit, Zii Jia yang meneruskan kempennya ke peringkat separuh akhir akan bertemu pemain Hong Kong, Ng Ka Long Angus – pemain sama yang ditemuinya pada Ahad lalu dalam perlawanan akhir Terbuka Thailand 2024.

Terdahulu, Angus mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Malaysia Masters 2024 selepas menumpaskan pemain China, Li Shi Feng dengan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-13 dan 21-15.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen