Malaysia Masters: Soon Huat-Shevon, Beregu No.1 Indonesia Mara Ke Final
May 25, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran No.2 negara, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai bakal membuat perhitungan dengan pasangan No.1 dari negara jiran tetangga iaitu Rinov Rivaldy dan Pitha Mentari untuk merebut gelaran juara Malaysia Masters 2024.

Terdahulu, Soon Huat-Shevon mengesahkan kemaraan sulungnya kira-kira selepas enam tahun ke perlawanan akhir bagi kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 dengan menumpaskan rakan senegara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Dalam pertarungan itu, pasangan suami isteri yang berusia 33 dan 30 tahun berkenaan menggunakan kelebihan daripada segi pengalamannya untuk mencatatkan kemenangan bergaya secara “straight set” menerusi skor 21-11 dan 21-19 dalam tempoh 40 minit.

Keputusan itu sekaligus membolehkan Soon Huat-Shevon melebarkan rekod mereka ke atas Tang Jie-Ee Wei kepada tiga kemenangan daripada empat pertemuan.

Sementara itu, Rinov-Pitha yang menghuni ranking ke-15 dunia mara ke perlawanan akhir selepas menundukkan beregu No.1 Denmark, Mathias Christiansen dan Alexandre Bøje.

Namun begitu, tiket kemaraan mereka ke perlawanan akhir tidak diraih dengan mudah. Rinov-Pitha terpaksa mengharungi tiga set permainan yang menjangkau satu jam dan 15 minit lamanya sebelum melakar kemenangan menerusi skor 26-24, 14-21 dan 21-18. 

Berbalik kepada pertemuan Soon Huat-Shevon dan Rinov-Pitha, berdasarkan rekod, beregu negara yang bergerak secara bersendirian itu pernah meraih lima kemenangan daripada enam pertemuan yang lalu.

Lima kemenangan itu dilakar mereka ketika berentap di Terbuka Hong Kong 2023, Kejohanan Badminton Asia 2023, Terbuka Singapura 2022, Terbuka Fuzhou China 2019 dan Terbuka Singapura 2018.

Kekalahan tunggal mereka hanya hadir ketika beraksi di peringkat kumpulan dalam saingan Jelajah Dunia Akhir BWF 2022.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen