Zii Jia, Axelsen Rebut Kejuaraan Malaysia Masters 2024
May 25, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia mencipta rekod baharu dalam kariernya apabila berjaya menempatkan dirinya buat julung kalinya di pentas akhir Malaysia Masters.

Kemaraan itu hadir selepas Zii Jia, 26 tahun, kelahiran Alor Setar berhasil membenam perseorangan Hong Kong, Ng Ka Long Angus pada peringkat separuh akhir, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia yang menghuni ranking kesepuluh dunia mencatatkan kemenangan bergaya ke atas pemain berumur 29 tahun itu secara “straight set” menerusi skor 21-15 dan 21-17 dalam masa 43 minit.

Kemenangan ini juga hadir selang enam hari selepas Zii Jia menumpaskan Angus pada perlawanan akhir Terbuka Thailand 2024 pada Ahad lalu.

Sementara itu, Zii Jia yang mara ke perlawanan akhir akan membuat perhitungan dengan perseorangan lelaki No.1 dunia dari Denmark iaitu Viktor Axelsen bagi merebut kejuaraan siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini.

Terdahulu, Axelsen mara ke perlawanan akhir dengan mengatasi pemain China yang menghuni ranking ke-19 dunia, Lui Guang Zu secara “straight set” menerusi skor 21-6 dan 21-13.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Axelsen, mereka sudah bertemu sebanyak sembilan kali dengan Zii Jia hanya merekodkan kemenangan sebanyak tiga kali sahaja.

Selebihnya, enam pertemuan lagi dimenangi Axelsen termasuk pertemuan kali terakhirsemasa skuad Malaysia dan Denmark bertemu pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D di Kejohanan Piala Thomas 2024 penghujung April lalu.

Featured Image: Facebook VICTOR

Komen