Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia terlepas peluang untuk merangkul kejuaraan Malaysia Masters 2024.
Ianya susulan pemain berusia 26 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah terbabit tewas perlawanan akhir bertemu pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen pada hari ini.
Kekalahan itu bermula dengan Zii Jia tewas seawal set pertama menerusi skor 6-21.
Namun begitu, pemain yang menghuni ranking kesepuluh dunia terbabit berhasil bangkit untuk meraih kemenangan pada set kedua menerusi skor 22-20.
Kedudukan itu sekaligus membolehkan Zii Jia mengheret pertarungan menentang Axelsen ke set penentuan.
Bagaimanapun, pada set tersebut, Zii Jia tidak dapat meneruskan rentak kemenangannya pada set kedua dan terpaksa akur akan kehebatan Axelsen, tewas, menerusi skor 13-21.
Kekalahan itu bukan sahaja mengekang Zii Jia daripada merangkul dua kejuaraan Jelajah Dunia BWF Super 500 secara beturut-turut selepas menjuarai saingan Terbuka Thailand, minggu lalu.
Ia juga menyebabkan kemarau kejuaraan daripada perseorangan lelaki Malaysia berterusan dalam saingan Malaysia Masters – selepas Datuk Lee Chong Wei menjuarainya pada tahun 2016.
Sementara itu, bagi rekod pertembungan, kekalahan ini bermakna Zii Jia telah tewas sebanyak tujuh kali daripada sepuluh pertembungan secara keseluruhan di pentas antarabangsa.
Akan tetapi, walau tewas, Zii Jia tetap dapat memungut 7,800 untuk pengiraan Ranking Dunia serta wang tunai sebanyak AS$15,960 bersamaan sekitar RM75,315.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia