Soon Huat-Shevon Juara Malaysia Masters – Bawa Pulang RM156,576
May 27, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu campuran negara yang juga merupakan pasangan suami isteri, Goh Soon Huat dan Shevon Jemie Lai berjaya menambah satu lagi koleksi kejuaraan daripada siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 apabila muncul juara Malaysia Masters 2024. 

Kejuaraan itu menjadi milik pasangan yang melangsungkan perkahwinannya pada 4 Mei lalu susulan melakar kemenangan ke atas beregu No.1 Indonesia, Rinov Rivaldy dan Pitha Mentari dalam perlawanan akhir, semalam.

Bertambah bermakna, pertarungan itu disudahkan Soon Huat-Shevon dengan mempamerkan corak permainan berkeyakinan tinggi sehingga mencetuskan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-18 dan 21-19, dalam masa 48 minit.

Keputusan itu turut menjadikan Soon Huat-Shevon melebarkan rekod pertemuannya ke atas Rinov-Pitha dengan enam kemenangan daripada tujuh pertembungan secara keseluruhan.

Hasil daripada meraih kejuaraan terbabit, Soon Huat-Shevon dapat membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak AS$33,180 atau bersamaan sekitar RM156,576 selain daripada memungut 9,200 mata untuk ditambah dalam pengiraan Ranking Dunia.

Sebagai rekod, kejuaraan Terbuka Singapura 2018 menjadi kejuaraan terakhir yang dirangkul Soon Huat-Shevon daripada siri Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500. 

Menariknya, kejuaraan ini turut diperoleh dengan menumpaskan beregu Indonesia iaitu Tontowi Ahmad dan Liliyana Nasir.

Pada masa yang sama, ini merupakan kejuaraan kedua dirangkul Soon Huat-Shevon selepas muncul juara Terbuka Swiss 2024 pada Mac lalu hasil menumpaskan beregu senegara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.

Featured Image: Facebook VICTOR

Komen