Amri Yahyah Keluar Dari Persaraan, Sertai PT Athletic Pada Usia 43 Tahun
May 28, 2024 Hafizuddin Omar

Persaraan penyerang veteran dan bekas pemain skuad bola sepak kebangsaan, Amri Yahyah nampaknya hanya bertahan sekitar lima bulan sahaja apabila beliau kembali ‘menyarung butnya’ dengan menyertai PT Athletic FC yang bertanding dalam Liga A1 Semi-Pro.

Penyertaan pemain kelahiran Tanjung Karang yang berusia 43 tahun bersama kelab terbabit didedahkan semasa Majlis Pelancaran Jersi & Meet ‘n Greet pada Ahad lalu disamping disahkan sendiri oleh empunya badan.

Ketika ditemui media selepas majlis berkenaan, pemain yang beraksi bersama Sabah FC sebelum mengumumkan persaraan sekitar pertengahan Disember lalu berkata keputusan untuk bermain semula ekoran ‘pujukan’ rakan-rakan terutamanya yang beraksi dalam skuad kebangsaan sezaman dengannya.

Antara yang turut ‘memujuknya’ adalah bekas rakan sepasukannya di Selangor serta skuad kebangsaan, Nazrulerwan Makmor yang kini merupakan ketua jurulatih PT Athletic sendiri.

Selain itu, keputusan ini turut mendapat sokongan daripada ahli keluarganya sendiri.

@sukanzcom

Amri Yahyah keluar dari persaraan, sertai PT Athletic FC yang beraksi dalam saingan Liga A1 pada usia 43 tahun #SukanDiTiktok #AmriYahyah #FootballTogether #LigaA1SemiPro #BolaSepak

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

“Gaji tu takde masalah sebab memang saya tak berhasrat untuk menyertai mana-mana pasukan sebab nak fokus dengan family (keluarga) pulak,”

“Mungkin daripada situ, saya tengok family (keluarga) bagi galakan supaya teruskan balik, jadi saya masuklah balik, main untuk pasukan ini (PT Athletic), 

“Saya harap (kemasukan saya) ke dalam pasukan ini dapat membantu pemain-pemain muda ke peringkat tertinggi dan saya harap pasukan ini menyerlah pada tahun ini, Insya-Allah,” katanya.

Selain Amri, PT Athletic turut disertai penyerang legenda, Indra Putra Mahayuddin serta nama-nama besar yang menghiasi saingan Liga Super sebelum ini seperti Syazwan Zainon, Latiff Suhaimi, Nurshamil Abdul Ghani dan Adib Zainuddin. 

Mengulas mengenai persaraannya sebelum ini, Amri mengatakan pengumuman itu dibuat lebih kepada hasratnya untuk berehat seketika daripada menyertai mana-mana pasukan bola sepak profesional.

Sebagai tambahan, Amri dan PT Athletic akan memulakan kempen Liga A1 Semi-Pro dengan melayan kunjungan daripada Bukit Tambun FC pada 8 Jun di Stadium MMU, Cyberjaya.

Featured Image: PT Athletic FC

Komen