Ini Senarai Kecederaan Melibatkan Barisan Serangan Harimau Malaya
May 28, 2024 Hafizuddin Omar

Skuad bola sepak kebangsaan atau nama julukannya Harimau Malaya dilihat tempang berikutan kehilangan lima pemain di posisi serangan menjelang baki dua perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

Seperti yang ramai sedia maklum, Faisal Halim menggondol anugerah gol tercantik di Piala Asia 2023 tidak dapat dipanggil menyertai kem latihan kali ini berikutan belum pulih sepenuhnya selepas diserang dengan simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali.

Namun ketiadaan nama Faisal atau nama glamornya, Mickey turut disusuli dengan Arif Aiman, Romel Morales dan terbaru Syafiq Ahmad – diumumkan mengalami kecederaan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), petang semalam.

Menurut ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon memaklumkan sepertimana diberitahu oleh Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman mengalami kecederaan di buku lalinya.

Turut mengalami kecederaan yang sama di buku lalu adalah penyerang naturalisasi, Romel Morales manakala Syafiq Ahmad pula ditimpa kecederaan hamstring.

@sukanzcom

Barisan serangan Harimau Malaya tempang, ditimpa pelbagai kecederaan, Kim Pan-gon menyimpulkan ini situasi yang sukar menjelang perlawanan menentang Kyrgyzstan & Chinese Taipei pada 6 dan 11 Jun kelab #SukanDiTiktok #BolaSepak #HarimauMalaya

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

Menambahkan kerunsingan jurulatih berusia 55 tahun dari Korea itu adalah keadaan penyerang berdarah campuran Malaysia-England, Darren Lok yang sedang dipantau secara dekat juga mempunyai masalah hamstring.

“Semua pemain serangan mempunyai masalah (kecederaan), inilah (skuad) yang kita ada pada saat ini,” 

“Akan tetapi kita masih mempunyai pemain-pemain lain, kami akan cuba untuk mencari penyelesaian terbaik untuk menghadapi perlawanan ini,”

“Kami tidak akan tunduk, menyerah kalah atau patahkan semangat diri kami sendiri,”

“Kami akan terus positif dan berjuang untuk nama Malaysia,” katanya ketika ditemui para pengamal media dari pelbagai agensi di Wisma FAM, semalam.

Ekoran daripada Syafiq Ahmad mengalami kecederaan hamstring dan tidak dapat menyertai kem latihan pusat, barisan kejurulatihan telah memanggil pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City) iaitu Zhafri Yahya untuk menggantikannya.

Untuk makluman, Harimau Malaya dijadualkan turun menentang Republik Kyrgyzstan pada 6 Jun di Stadium Dolen Omurzakov sebelum kembali ke tanah air untuk melayani kunjungan Chinese Taipei pada 11 Jun di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen