Duo ‘Winger’ Terengganu Taruhan Pan-gon Isi Kekosongan Faisal & Arif Aiman
May 28, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain sayap kiri dan kanan Terengganu FC iaitu Safawi Rasid dan Akhyar Rashid dijangka menjadi pilihan utama ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal Halim dan Arif Aiman Hanapi.

Kedua-dua pemain yang dipinjamkan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) kepada Terengganu itu merupakan taruhan utama Tomislav Steinbruckner terutamanya ketika menghadapi tiga perlawanan awal Liga Super 2024-25.

Kehadiran mereka turut membantu Terengganu bermula dengan langkah kanan dengan meraih dua kemenangan serta merekodkan satu keputusan seri ketika bertemua Perak FC, Kelantan Darul Naim FC dan Penang FC baru-baru ini.

Difahamkan, duo Terengganu ini menjadi pilihan Pan-gon mengisi posisi sayap kiri dan kanan skuad kebangsaan memandangkan beliau tidak mempunyai banyak pilihan pemain pada ketika ini.

“Kita tidak mempunyai pemain yang ramai (di posisi tersebut), saya fikir posisi itu akan diisi oleh Safawi, Akhyar dan juga Adib (Ra’op).”

“Kadangkala secara taktikalnya, pemain-pemain lain boleh mengisi posisi tersebut,”

“Dalam masa beberapa hari akan datang, kita akan cuba melihat siapa boleh mengisi posisi berkenaan, saya fikir tak nampak sebarang saingan (untuk posisi itu), tak banyak banyak pilihan (pemain) untuk posisi itu,” katanya ketika ditemui semasa hari pertama sesi latihan pusat skuad kebangsaan di Wisma FAM, semalam.

@sukanzcom

Safawi, Akhyar bakal jadi pilihan utama Pan-gon isi kekosongan yang ditinggalkan oleh Faisal Halim dan Arif Aman? #SukanDiTiktok #BolaSepak #FootballTogether #HarimauMalaya

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

Setakat ini, Safawi telah bermula dalam kesebelasan utama bagi ketiga-tiga perlawanan menentang Perak, Penang dan Kelantan Darul Naim dengan mengumpul 219 minit permainan secara keseluruhan bersama Terengganu.

Berdasarkan statistik, Safawi, 27 tahun, telah merekodkan dua percubaan tepat ke sasaran daripada tiga percubaan dalam tiga perlawanannya bersama Terengganu.

Manakala, Akhyar yang tampil sebanyak dua kali bersama Terengganu ketika bertemu Penang dan Kelantan Darul Naim berhasil mengumpul 158 minit permainan.

Aspek serangan Akhyar atau lebih mesra dengan panggilan Matyat dilihat lebih baik sedikit berbanding Safawi dengan melakukan empat percubaan secara keseluruhan. Dua daripadanya berjaya menuju tepat ke sasaran.

Untuk makluman, Faisal tidak dapat menyertai panggilan ke kem latihan pusat kali ini berikutan belum pulih sepenuhnya daripada serangan simbahan asid oleh individu yang tidak dikenali.

Manakala Arif pula mengalami kecederaan buku lali sepertimana dimaklumkan oleh pihak kelabnya kepada Pan-gon.

Featured Image: Terengganu FC

Komen