Kesatuan Ragbi Malaysia Terima Tajaan Pakaian Pengadil Jenama EV
May 30, 2024 Hafizuddin Omar

Pengadil-pengadil ragbi kebangsaan akan menyarung pakaian jenama sukan EV semasa mengadili kejohanan-kejohanan utama kebangsaan seperti Piala Agong, National 7’s serta kejohanan 15-sebelah wanita.

Jenama sukan tersebut akan turut dipakai oleh para pengadil apabola mengadili kejohanan kelolaan Enervive Sports seperti Super Schools Rugby dan Corporate Super Rugby.

Perkembangan ini hadir selepas Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan Enervive Sports memeterai perjanjian dan kerjasama strategik yang disempurnakan oleh Pengarah Kepengadilan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Nik Ramadhan Nik Abdullah dan Ketua Pegawai Operasi Enervive Sports, Muhammad Syafiq Bin Musa semalam.

Pemeteraian perjanjian dan kerjasama strategik yang berlangsung di Subang itu turut disaksikan oleh Presiden KRM, Amir Amri Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Enervive Sports, Shahrizin Shaharudin.

Dimaklumkan, pakai rasmi pengadil jenama EV bakal digunakan sepanjang tahun ini bermula dengan kejohanan Super Schools Rugby kelolaan Enervive Sports yang bakal bermula 4 Jun kelak.

Untuk pengetahuan semua, Enervive Sports merupakan agensi sukan yang terlibat dalam pelbagai bidang industri sukan tempatan.

Selain mempunyai jenama pakaian sukan berjenama EV dan menganjurkan kejohanan sukan rugbi sepertimana dinyatakan di atas, Enervive Sports juga merupakan entiti yang membangunkan dan mengkomersialkan padang bola sepak sintetik berjenama EV Arena.

Komen