Bek kiri Penang FC, Adib Ra’op dan pemain tengah Terengganu FC, Engku Muhammad Nur Shakir menjadi dua muka baharu yang dipanggil untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan kali ini.
Dimaklumkan, penyenaraian kedua-dua pemain tersebut dibuat selepas perkembangan Adib dan Shakir dalam saingan domestik telah dipantau Kim Pan-gon serta barisan kejurulatihannya sejak satu hingga dua tahun lalu.
Mengulas dengan lebih lanjut, Pan-gon melihat penyenaraian Adib dan Shakir menjelang pertemuan menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei ini merupakan waktu yang tepat khususnya untuk menggantikan kekosongan ditinggalkan pemain-pemain serangan yang ditimpa kecederaan.
“Berkenaan Adib, kami telah memantaunya sejak tahun lepas, dia bermain sebagai pemain sayap dan kadangkala juga sebagai ‘full-back’,”
“Sangat menarik (kebolehannya), kami mencari pemain sepertinya (yang) laju, kuat, agresif dan mempunyai ketahanan,”
“Pemain ini sangat sesuai dengan karakter pasukan kami, kami hanya menantikan masa yang sesuai (untuk memanggilnya),” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Sebagai rekod, sepanjang musim lalu, Adib menjadi taruhan utama dalam kesebelasan utama Penang dengan merekodkan 28 penampilan secara keseluruhan dalam saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Challenge Cup.
Sementara itu, untuk Shakir pula, Pan-gon menyentuh khusus mengenai kemampuannya yang seakan-akan satu bayangan untuk meletakkannya di posisi No.10 atau penyerang bagi menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei.
“Shakir juga kami telah pantau sejak dua tahun lepas, pemain ini juga sangat agresif dan mampu menembusi ruang-ruang (kawasan lawan), ini merupakan ciri-ciri (pemain) yang kami suka,” ujarnya.
Sebagai rekod, sepanjang musim lalu, Shakir diturunkan sebanyak 32 kali bersama Terengganu termasuk membuat lima penampilan dalam saingan Piala AFC.
Bukan itu sahaja, rekod penampilan itu turut dihiasi dengan jaringan sebanyak tujuh gol serta empat bantuan gol kepada rakan sepasukannya dalam pelbagai kejohanan.
“Peluang untuk mereka ini merupakan sesuatu yang sangat berharga, saya berharap mereka mengambil peluang ini untuk ke tahap yang lebih tinggi,” tambah Pan-gon lagi.
Untuk makluman, Malaysia akan beraksi menentang Kyrgyzstan pada 6hb Jun di Bishkek serta turun melayan Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 11hb Jun.
Featured Image: Terengganu FC