Terbuka Singapura: Tang Jie-Ee Wei Bertembung Juara Dunia Di Suku Akhir
May 30, 2024 Hafizuddin Omar

Juara Kejohanan Dunia BWF 2023 iaitu Seo Seung-jae dan Chae Yu-jung menjadi lawan buat beregu campuran No.1 negara, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei di Terbuka Singapura 2024.

Pertembungan itu akan berlangsung pada peringkat suku akhir pada hari esok bagi merebut tiket kemaraan ke peringkat seterusnya, separuh akhir bagi kejohanan yang bertaraf Super 750 dalam siri Jelajah Dunia BWF.

Terdahulu, Tang Jie-Ee Wei mengesahkan tempat ke peringkat suku terbabit selepas berhasil menundukkan beregu No.10 dunia dari Denmark iaitu Mathias Christiansen dan Alexandra Bøje, pada hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Tang Jie-Ee Wei melakar kemenangan bergaya iaitu  secara “straight set” menerusi 21-17 dan 21-18 dalam tempoh masa 40 minit bertempat di Stadium Tertutup Singapura.

Manakala, lawannya pula, Seo-Chae merangkap pilihan keempat kejohanan mara susulan menumpaskan beregu Jepun yang menduduki ranking ke-27 dunia, Yuki Kaneko dan Misaki Matsutomo.

Seo-Chae yang kini berada pada ranking keempat dunia menumpaskan lawannya itu menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 21-19, 18-21 dan 21-16 dalam tempoh masa 67 minit.

Menelusuri rekod pertemuan, Tang Jie-Ee Wei dan Seo-Chae pernah berentap sebanyak tiga kali – ketiga-tiganya berlangsung sepanjang tahun lalu.

Bagaimanapun, Tang Jie-Ee Wei hanya berjaya melakar kemenangan dalam satu perlawanan sahaja iaitu ketika bertemu Seo-Chae buat julung kalinya di Terbuka Jeman 2023 dengan mencatatkan kmenangan secara “straight set”  21-11 dan 24-22.

Manakala dua pertemuan seterusnya, yang berlangsung di Piala Sudirman 2023 dan Korea Masters 2023 berakhir dengan kekalahan 21-11, 13-21 dan 7-21 serta 14-21 dan 17-21 masing-masing di tangan Seo-Chae.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen