Terbuka Singapura: Jun Hao Cipta Kejutan
May 30, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.2 negara, Leong Jun Hao melakar kejutan dengan menumpaskan Anthony Sinisuka Ginting buat julung kalinya dalam kariernya.

Kejutan itu diciptanya ketika bertembung pemain yang menghuni ranking ketujuh dunia terbabit pada pusingan 16 di Terbuka Singapura 2024, hari ini.

Dalam pertembungan itu, Jun Hao, ranking ke-36 dunia, menumpaskan Ginting menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor  21-14, 10-21 dan 21-8 dalam tempoh masa satu jam.

Keputusan itu sekaligus menyingkirkan naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2024 terbabit daripada saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 750 ini.

Sementara itu, pada peringkat suku akhir kelak, Jun Hao dijangka berentap menentang pemain No.1 dunia merangkap pemenang Malaysia Masters pada minggu lalu, Viktor Axelsen.

Bagaimanapun, Axelsen perlu membuat perhitungan terlebih dahulu dengan pilihan ketujuh kejohanan dari Chinese Taipei, Chou Tien Chen pada pusingan 16 untuk menentukan beliau layak atau tidak ke suku akhir.

Sekiranya bertemu, itu menjadi pertembungan mereka yang pertama di pentas antarabangsa.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen