Terbuka Singapura: Sze Fei-Izzuddin Tersekat Di Suku Akhir
May 31, 2024 Hafizuddin Omar

Kempen beregu lelaki No.2 negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin di Terbuka Singapura 2024 ternoktah di peringkat suku akhir.

Ianya susulan gandingan pemain berusia 26 tahun masing-masing itu terpaksa akur tewas di tangan beregu China yang menghuni ranking kesepuluh dunia, He Ji Ting dan Ren Xiang Yu.

Pertembungan itu menyaksikan Sze Fei-Izzuddin tewas menerusi tiga set permainan yang berakhir dengan skor 21-16, 9-21 dan 17-21 dalam tempoh masa lebih satu jam permainan.

Sebagai rekod, kekalahan itu merupakan yang kedua dialami Sze Fei-Izzuddin apabila bertemu Ji Ting-Xiang Yu selepas tewas semasa beraksi di Piala Thomas 2024, awal Mei baru-baru ini.

Hasil mara ke peringkat suku akhir bagi Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 500 ini, Sze Fei-Izzuddin terpaksa berpuas hati dengan imbuhan wang tunai sebanyak AS$5,312.50 atau bersamaan sekitar RM24,990 serta pungutan 6,050 mata.

Sementara itu, Ji Ting-Xiang Yu yang menampah tiket kemaraan ke peringkat separuh akhir akan menantikan cabaran samada daripada beregu Korea, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae atau beregu Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen