Real Madrid Ikat Mbappe Sehingga Hujung Musim 2028-29
June 4, 2024 Hafizuddin Omar

Real Madrid yang merangkul kejuaraan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) buat kali ke-15 baru-baru ini memperkukuhkan lagi skuadnya dengan mengumumkan mengikat bintang, Kylian Mbappe untuk menghadapi saingan musim-musim akan datang.

Kehadiran pemain berusia 25 tahun kelahiran Perancis yang sebelum ini beraksi untuk Paris Saint-Germain (PSG) itu diumumkan dan dikongsikan secara rasmi oleh Real Madrid menerusi pelbagai media platform sosialnya, awal pagi tadi (waktu Malaysia).

Real Madrid yang turut merangkul kejuaraan La Liga memaklumkan Mbappe yang menjaringkan 44 gol bersama PSG sepanjang musim 2023-24 diikat dengan kontrak selama lima musim sekaligus menyaksikannya kekal bersama skuad Los Blancos sehingga tamat musim 2028-29.

View this post on Instagram

A post shared by Real Madrid C.F. (@realmadrid)

Mbapee menerusi satu hantaran di akaun media sosial peribadinya menyimpulkan penyertaannya bersama Real Madrid sebagai sebuah mimpi yang menjadi kenyataan.

“Saya sangat gembira dan berbangga dapat menyertai kelab impian saya, Real Madrid,”

“Tiada seorang pun dapat memahami betapa gembiranya saya pada saat ini,”

“Tak sabar untuk berjumpa kamu semua, Madridistas, dan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada kamu semua,” tulisnya sambil mengepilkan foto-fotonya menyarung jaket Real Madrid ketika zaman remaja dan bergambar dengan Cristiano Ronaldo.

View this post on Instagram

A post shared by Kylian Mbappé (@k.mbappe)

Ketajaman Mbappe dihadapan gawang sudah terbukti sekian lama dan diketahui umum oleh peminat bola sepak dunia.

Ini dibuktikan dengan dirinya menjadi penjaring terbanyak Ligue 1 selama enam musim berturut-turut sejak musim 2018-19.

Selain itu, Mbappe turut memahat namanya selaku penjaring terbanyak PSG sepanjang dengan catatan 256 gol dijaringkan sejak dirinya menyarung jersi skuad berjulukan Les Parisiens bermula musim 2017-28.

Bersama skuad kebangsaan Perancis pula, Mbappe kini telah merekodkan 46 gol dan menghuni tangga ketiga dalam senarai penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad Les Bleus selepas Olivier Giroud (57 gol) dan Thierry Henry (51 gol).

Sebagai tambahan, Mbappe memulakan karier bola sepak profesionalnya bersama AS Monaco ketika berusia 14 tahun dari musim 2013-14 dan mencipta debut dalam saingan Ligue 1 pada usia 16 tahun dan 11 bulan – diturunkan sebagai pemain gantian ketika menentang Stade Malherbe de Caen pada 2 Disember 2015.

Featured Image: Équipe de France de Football

Komen