Chelsea Lantik Bekas Penolong Pep Guardiola Sebagai Ketua Jurulatih – Enzo Maresca
June 4, 2024 Hafizuddin Omar

Kelab berpangkalan di kota London yang dimiliki oleh BlueCo iaitu Chelsea kini mempunyai ketua jurulatih baharu yang akan mengisi kekosongan ditinggalkan Mouricio Pochettino.

Menerusi pengumuman rasmi yang dikongsikan di pelbagi platform media sosialnya, kelab berjulukan The Blues itu memilih Enzo Maresca kelahiran Itali yang kini berusia 44 tahun.

Ezon yang merupakan sebahagian daripada barisan kejurulatihan Pep Guardiola membantu Manchester City menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim 2022-23 menandatangani kontrak selama lima tahun dengan pilihan lanjutan selama setahun bersama Chelsea.

Pihak kelab memaklumkan, Enzo akan memulakan tugasnya selaku ketua jurulatih bermula 1 Julai kelak.

Untuk makluman, khidmat Enzo dirantai Chelsea selepas berjaya memimpin Leicester City menjuarai Liga Kejuaraan (divisyen kedua England) dan meraih promosi ke saingan EPL 2024-25 – musim pertamanya bersama skuad berjulukan The Foxes.

Sebelum itu, Enzo pernah mengendalikan Skuad Pembangunan Elit Manchester City bermula musim panas 2020 dan membimbing pasukan berkenaan menjuarai saingan Liga Perdana Inggeris 2 (PL2) – julung kalinya dalam sejarah kelab.

Menariknya, skuad tersebut turut dibarisi penjaring terbanyak Chelsea musim 2023-24 iaitu Cole Palmer serta pemain tengah bertahan, Romeo Lavia.

Selain bersama Leicester City dan Manchester City, Enzo pernah mengemudi kelab yang beraksi dalam saingan Serie B – kancah bola sepak negara kelahirannya – Parma selaku pengurus dari Mei hingga November 2021.

Sebagai tambahan, Enzo menjadi jurulatih atau pengurus kelahiran Itali yang ketujuh mengemudi Chelsea dalam sejarahnya selepas Gianluca Vialli (1998-2000), Claudio Ranieri (2000-2004), Carlo Ancelotti (2009-2011), Roberto de Matteo (2012), Antonio Conte (2016-2018) dan Maurizio Sarri (2018-2019).

Featured Image: Leicester City

Komen