Terbuka Indonesia: Pearly-Thinaah Tak Ulang Skrip Kandas Awal
June 4, 2024 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan yang beraksi di Terbuka Indonesia 2024 tidak mengulangi skrip terkandas seawal pusingan 32 sepertimana di Terbuka Singapura pada minggu lalu.

Saingan itu menyaksikan Pearly-Thinaah terkandas susulan ditundukkan beregu No.2 China, Liu Sheng Shu dan Tan Ning secara “straight set” menerusi skor 21-10 dan 21-10.

Ketika turun menentang beregu Chinese Taipei yang menghuni ranking ke-42 dunia, Sung Shuo Yun dan Yu Chien Hui pada hari ini, Pearly-Thinaah berhasil merekodkan kemenangan secara “straight set” menerusi skor 21-19 dan 22-20.

Kemenangan itu dilakar gandingan pemain berusia 24 dan 26 tahun masing-masing itu dalam tempoh 40 minit bertempat di Istora Senaya, Jakarta.

Susulan kemenangan terbabit, Pearly-Thinaah akan bertembung pasangan No.1 tuan rumah, Apriyani Rahayu dan Siti Fadia Silvia Ramadhanti untuk merebut tiket ke peringkat suku akhir Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 ini.

Berdasarkan rekod, kedua-dua pasangan ini pernah berentap sebanyak lima kali.

Namun begitu, kemenangan dilihat lebih memihak kepada Apriyani-Siti Fadia sebanyak tiga kali termasuk ketika bertembung dalam dua perlawanan terakhir di Terbuka Hong Kong 2023 dan Jelajah Dunia Akhir 2022.

Komen