Terbuka Indonesia: Wei Chong-Kai Wun Bikin Juara Dunia Kandas
Hafiz Omar
Beregu lelaki yang menjuarai Kejohanan Dunia BWF 2023 dari Korea, Kang Min-hyuk dan Seo Seung-jae tersungkur di Terbuka Indonesia 2024 seawal pusingan 32.
Ianya gara-gara gandingan yang diletakkan selaku pilihan ketiga kejohanan itu dikejutkan oleh beregu lelaki negara yang menghuni ranking ke-20 dunia, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun, sebentar tadi.
Pertarungan yang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta itu menyaksikan Kang-Seo dijinakkan oleh Wei Chong-Kai Wun menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan skor 20-22, 21-16 dan 21-17 dalam tempoh masa hampir satu jam.
KAPAL API Indonesia Open 2024
— BWFScore (@BWFScore) June 4, 2024
MD – R32
🇲🇾MAN Wei Chong🏅
20 21 21 🇲🇾Kai Wun TEE🏅
🇰🇷KANG Min Hyuk
22 16 17 🇰🇷SEO Seung Jae
🕚 in 59 minutes
Keputusan itu juga membolehkan Wei Chong-Kai Wun “memecahkan telur” iaitu mencatatkan kemenangan julung kalinya ke atas Kang-Seo selepas tewas dalam kedua-dua pertembungan sebelum ini.
Pada masa yang sama, kemenangan ini membolehkan Wei Chong-Kai Wun meneruskan kempen ke pusingan 16 bagi Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000.
Menanti mereka di pusingan tersebut adalah samada gandingan Denmark yang menghuni ranking ke-15 dunia, Rasmus Kjær dan Frederik Søgaard atau penghuni ranking ke-21 dunia dari China, Chen Bo Yang dan Liu Yi.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia