Perlawanan kelima Kumpulan D melibatkan Republik Kyrgyzstan dan Malaysia pada Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 akan ditayangkan menerusi skrin besar untuk tontonan orang ramai termasuk di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
Pemakluman mengenai tayangan skrin besar perlawanan yang berlangsung di Stadium Dolen Omurzakov bermula jam 11 malam (waktu Malaysia) pada 6 Jun 2024 (Khamis) itu disahkan sendiri oleh penganjur, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).
Selain SNBJ, 16 lagi lokasi tayangan skrin besar di seluruh negara adalah seperti berikut:
- Dataran Merdeka
- Dataran MPKJ @ Stadium Kajang
- Dataran Putrajaya, Presint 3
- Dataran Dato’ Sheikh Ahmad, Kangar
- Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah, Alor Setar
- Dewan Futsal MPKK Kampung Sungai Kechil, Sungai Bakap
- Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya
- Kompleks Belia dan SUkan Negeri Sembilan, Paroi
- UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka
- Ngepot Kabin, Kluang
- Dataran Bandaraya, Kota Bharu
- Kompleks Paya Bunga Sentral, Kuala Terengganu
- Padang MBK 1, Kuantan
- Dataran Perayaan, Petra Jaya, Kuching
- Dataran Uptown Belia, Beaufort
- Kompleks Belia dan Sukan WP Labuan
Perlawanan melibatkan skuad bimbingan Kim Pan-gon menentang pasukan yang menghuni ranking ke-100 dunia ini menjadi titik penentuan samada Malaysia dapat mengutip mata yang mencukupi atau tidak untuk melayakkan diri ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.
Bagaimanapun, pemergian Malaysia ke Bishkek tidak diiringi dengan beberapa pemain berstatus tonggak pasukan seperti Faisal Halim, Arif Aiman, Romel Morales, Syafiq Ahmad, Darren Lok dan Syihan Hazmi berikutan mengalami kecederaan.
Pada pertemuan pertama peringkat Kumpulan D di SNBJ pada 16 November tahun lalu, Malaysia berjaya menumpaskan Kyrgyzstan 4-3 menerusi satu kebangkitan epik selepas ketinggalan 1-3 pada minit ke-57.
Kemenangan tersebut hasil daripada jaringan berganda Dion Cools, gol sendiri oleh Khristiyan Brauzman serta jaringan pada masa kecederaan oleh Faisal.