Pemain badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia kini berada pada kedudukan No.7 dalam Ranking Dunia – julung kalinya sejak jatuh ke posisi No.8 dan lebih rendah bermula awal Mei tahun lalu.
Pemain berusia 26 tahun kelahiran Alor Setar, Kedah itu menghuni kedudukan berkenaan selepas meraih peningkatan dua anak tangga selepas Persekutuan Badminton Dunia (BWF) melakukan kemaskini Ranking Dunia, semalam.
Peningkatan itu membolehkannya merampas kedudukan yang dihuni oleh perseorangan Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting pada minggu lalu yang kini jatuh ke posisi No.9 dunia.
![](https://sukanz.com/wp-content/uploads/2024/06/Ranking-Dunia-4-Jun-2024-Lee-Zii-Jia-Leong-Jun-Hao-782x1024.jpg)
Pada masa yang sama, Zii Jia yang kini mengumpul 75,486 mata turut memintas kedudukan perseorangan Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang kekal menghuni posisi No.8 dalam Ranking Dunia.
Sementara itu, seorang lagi perseorangan lelaki tanah air, Leong Jun Hao turut mempamerkan peningkatan yang positif dengan langkauan sebanyak empat anak tangga sekaligus menghuni posisi No.32 dunia.
Ianya merupakan kedudukan tertinggi pernah direkodkan pemain berusia 24 tahun kelahiran Setapak, Kuala Lumpur dalam Ranking Dunia oleh BWF dalam kariernya setakat ini.
Kedudukan No.32 dunia merupakan satu posisi signifikan buat Jun Hao kerana ianya membolehkan Jun Hao layak beraksi dalam saingan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000 dan Super 750 secara automatik selepas daripada ini.