Waktu sepak mula perlawanan pusingan 16 saingan Piala FA melibatkan Kedah Darul Aman FC dan Bukit Tambun FC di Stadium Darul Aman pada 14 Jun kelak diubah kepada jam 9 malam – selepas masuknya waktu solat Isyak.
Perubahan itu disahkan sendiri oleh penganjur, Malaysian Football League (MFL) menerusi satu hebahan di pelbagai platform media sosialnya, hari ini.
Terdahulu, MFL menetapkan sepak mula bagi perlawanan tersebut pada jam 6.30 petang – sekitar setengah jam sebelum masuknya waktu solat Maghrib bagi kawasan Alor Setar dan sewaktu dengannya.

Penetapan waktu sepak mula tersebut mengundang kritikan serta kecaman daripada kalangan peminat dan penyokong bola sepak tempatan lebih-lebih lagi kalangan penganut beragama Islam.
Ini kerana menyukarkan penonton, pemain, barisan kejurulatihan serta pegawai perlawanan untuk menunaikan solat fardhu Maghrib.
Bagaimanapun, MFL menjelaskan penetapan sepak mula jam 6.30 petang itu dibuat selepas dipersetujui oleh kedua-dua kelab berkenaan.
Untuk makluman semua, pada asalnya, waktu sepak mula melibatkan Kedah Darul Aman dan Bukit Tambun telah ditetapkan pada jam 9 malam – berdasarkan kemaskini pada 23 Mei 2024 sebelum kemaskini pada 29 Mei.
Sementara itu, satu lagi perlawanan, Kuala Lumpur City FC bertemu Kuching City FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Jun kekal bermula pada jam 6.30 petang.
Featured Image: Kedah Darul Aman FC