Pemain skuasy lelaki No.1 negara, Ng Eain Yow serta pemain skuasy wanita No.1 tanah air, Sivasangari Subramaniam antara yang mengisi senarai akhir calon untuk merebut gelaran Olahragawan Kebangsaan dan Olahragawati Kebangsaan pada Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023.
Kedua-dua atlet yang menghuni ranking ke-15 dan ke-10 dunia masing-masing itu tersenarai selepas Jawatankuasa Pemilihan ASN mengadakan mesyuarat yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Ybhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu pada hari ini.

Bagi gelaran Olahragawan Kebangsaan, Eain Yow, 26 tahun yang merangkul pingat emas di Sukan Asia 2022 akan dicabar oleh empat lagi pesaing iaitu Mohd Qabil Ambak (ekuestrian), Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah (bina badan), Muhammad Arif Afifuddin (karate) dan Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).
Sementara itu, Sivasangari yang merangakul dua emas di temasya Sukan Asia pula akan dicabar oleh Natasha Mohamed Roslan (tenpin boling), Nur Amisha Azrilrizal (muay thai), Nur Syazrin Mohamad Latif (pelayaran) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang) untuk gelaran Olahragawati Kebangsaan.

Pada masa yang sama, mesyuarat turut menyenaraikan Muhammad Ziyad Zolkefli (para olahraga), Datuk Abdul Latif Romli (para olahraga), Muhammad Ammar Aiman (para olahraga), Bonnie Bunyau Gustin (para powerlifting) dan Muhammad Nur Syaiful Zulkafli (para renang) untuk gelaran Olahragawan Paralimpik Kebangsaan.
Tidak ketinggalan, Nur Azlia Syafinaz (para berbasikal), Nur Suraiya (para berbasikal), Noor Askuzaimey (boccia), Angeline Melissa (boccia) dan Jariah Zakaria (para boling padang) dimasukkan dalam senarai akhir untuk merebut anugerah Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Buat pengetahuan semua, Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan akan menerima sebuah piala, piala iringan, sijil dan hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 masing-masing.
Selain daripada empat gelaran tersebut, ASN 2023 akan menobatkan Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Anugerah Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.
Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan ASN 2023 akan berlangsung pada 13hb Jun (Khamis) kelak.
Sebagai tambahan, ASN yang diperkenalkan sejak tahun 1966 merupakan satu pengiktirafan tertinggi Kerajaan bagi menghargai kecemerlangan dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan persatuan sukan kebangsaan untuk setiap tahun pertandingan.