Azizul, Shah & Izzah Dapat Basikal WX-R Vortex Edisi Baharu Ke Sukan Olimpik
June 6, 2024 Hafizuddin Omar

Tiga pelumba basikal trek negara yang mewakili Malaysia ke Sukan Olimpik 2024 iaitu Datuk Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri menerima basikal WX-R Vorteq edisi baharu untuk digunakan semasa bertanding di temasya berkenaan.

Basikal yang merupakan produk pembangunan melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) oleh Institut Sukan Negara (ISN) itu telah disampaikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh kepada Azizul semasa Majlis Pelancaran Team MAS di Majlis Sukan Negara, hari ini.

Menurut Azizul yang akan bertanding di temasya Olimpik buat kali kelima dalam kariernya, ISN telah meningkatkan dan menambah baik beberapa aspek terhadap basikal WX-R Vorteq berkenaan berbanding edisi yang lalu. 

Antaranya adalah penambahbaikan daripada segi daya geserannya, “positioning” serta sut perlumbaan yang disarung oleh ketiga-tiga pelumba negara.

Selain daripada peningkatan dan penambahbaikan yang dinyatakan, basikal WX-R Vorteq edisi baharu ini turut berwajah baharu apabila ianya tampil dalam warna hitam dan jingga – sama seperti tema Team MAS.

Sementara itu, sebelum menjejakkan kaki di Paris, Azizul atau nama julukannya “The Pocket Rocketman” berkata ketiga-tiga mereka akan terbang ke benua eropah iaitu Belgium pada Sabtu nanti untuk berlatih di sana sepanjang Jun dan Julai.

@sukanzcom

Skuad basikal trek negara akan berkampunh di Belgium Dan Sepanyol sepanjang Jun dan Julai untuk melakukan persiapan terakhir sebelum terbang ke Paris pada 1 Ogos kelak #SukanDiTiktom

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

Kemudiannya, ketiga-tiga mereka akan berada di Mallorca, Sepanyol sepanjang bulan Julai sebelum terbang ke Perancis pada 1 Ogos.

Pada majlis yang sama, Hannah turut menyampaikan satu lagi produk inovasi yang dibangunkan oleh ISN iaitu “custom made grip” untuk peralatan sukan memanah bagi memberikan keselesaan kepada atlet memanah negara.

Bercakap mengenai pelancaran Team MAS, ianya merupakan satu jenama kebangsaan yang diketengahkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi mewujudkan gerakan nasional untuk menyokong atlet negara di semua temasya sukan termasuk Sukan Olimpik Paris 2024 yang berlangsung dari 26hb Julai hingga 11hb Ogos kelak.

Ianya membawakan tema “Kita Semua Team MAS” yang mengutamakan penyatuan semua rakyat Malaysia dari seluruh pelosok negara sebagai sebuah pasukan yang sentiasa menyokong atlet yang akan berjuang di pentas tertinggi sukan dunia.

KBS turut menyeru semua rakyat Malaysia an pemegang taruh untuk sama-sama menjayakan kempen ini sebagai tanda sokongan dan penyuntik semangat kepada semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik 2024 itu nanti.

Komen