Terbuka Indonesia: Jun Hao Benam Bekas Pemain No.2 Dunia
June 6, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao melakukan satu lagi kejutan di Terbuka Indonesia 2024 yang sedang berlangsung di Istora Senayan, Jakarta pada minggu ini.

Selepas mencipta kejutan dengan menumpaskan pemain tuan rumah yang menghuni ranking ketiga 3 dunia, Jonatan Christie pada pusingan 32 semalam, pemain berusia 24 tahun ini melakar kejutan dengan menumbangkan pula bekas pemain No.2 dunia, Chou Tien Chen.

Pertembungan yang berlangsung pada pusingan 16 pada hari ini menyaksikan Jun Hao yang menghuni ranking ke-32 dunia menumpaskan Tien Chen dari Chinese Taipei itu menerusi tiga set permainan menerusi skor 21-18, 13-21 dan 21-17 dalam tempoh masa 67 minit.

Pada masa yang sama, kemenangan itu sekaligus membolehkannya membalas dendam terhadap kekalahan 16-21 dan 12-21 yang dialaminya di tangan Tien Chen semasa bertemu buat pertama kalinya dalam saingan Madrid Spain Masters 2024 pada penghujung Mac lalu.

Sementara itu, hasil kemenangan yang dikecapi, Jun Hao berhasil menempatkan dirinya buat julung kalinya pada peringkat suku akhir dalam Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000.

Menantinya pada peringkat itu, seorang lagi nama besar dalam kategori perseorangan lelaki iaitu pemain China yang menghuni ranking keempat dunia, Li Shi Feng untuk merebut tiket ke peringkat separuh akhir.

Sebagai rekod, Jun Hao sudah pernah bertemu dengannya sebanyak dua kali iaitu di Malaysia Masters 2024 dan Piala Thomas 2024 baru-baru ini. Malangnya, kedua-dua pertemuan itu berakhir dengan kekalahan secara “straight set” masing-masing. 

Komen