Terbuka Indonesia: Zii Jia Atasi Cabaran Hong Yang – 1 Jam 12 Minit
June 6, 2024 โ€ข Hafizuddin Omar

Kempen pemain badminton perseorangan lelaki tanah air, Lee Zii Jia di Terbuka Indonesia 2024 belum menemui titik noktahnya.

Sebaliknya, pemain berusia 26 tahun berkenaan berhasil meneruskan kempennya ke peringkat suku akhir di kejohanan Jelajah Dunia BWF bertaraf Super 1000.  

Ianya susulan Zii Jia dapat menjinakkan pemain China yang menghuni ranking ke-19 dunia, Weng Hong Yang pada peringkat pusingan 16, hari ini.

Namun begitu, Zii Jia terpaksa bertarung selama satu jam dan 12 minit terlebih dahulu sebelum mengesahkan kemenangan menerusi skor 20-22, 21-9 dan 21-16 ke atas Hong Yang.

Hasil daripada kemenangan berkenaan, Zii Jia kini dapat menyamai rekod kemenangannya ke atas Hong Yang kepada 3-3 di pentas antarabangsa.

Sementara itu, ia juga membawa Zii Jia bertemu pemain Thailand yang menghuni ranking kelapan dunia, Kunlavut Vitidsarn pada peringkat suku akhir.

Merujuk kepada rekod, Zii Jia dan Kunlavut pernah bertentap sebanyak tujuh kali sebelum ini.

Daripada tujuh pertemuan itu, pemain kelahiran Alor Setar, Kedah berkenaan berjaya melakar empat kemenangan dan tewas sebanyak tiga kali.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen