Kelayakan Piala Dunia 2026: Peluang Malaysia Ke Pusingan 3 Tipis
June 7, 2024 Hafizuddin Omar

Peluang Malaysia bimbingan Kim Pan-gon untuk mencipta sejarah mara ke pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 kini menjadi tipis.

Ianya susulan skuad berjulukan Harimau Malaya terikat 1-1 ketika bertemu Republik Kyrgyzstan pada aksi kelima peringkat Kumpulan D, sebentar tadi.

Keputusan itu hadir menerusi jaringan Gulzhigit Alykulov pada minit ke-24 serta gol sendiri oleh pemainnya, Valery Kichin selang 14 minit kemudian, pada separuh masa pertama.

Hasil daripada keputusan tersebut, Kyrgyzstan yang menghuni ranking ke-100 dunia dapat mengekal dirinya di tempat kedua Kumpulan D dengan pungutan 10 mata.

Malaysia pula kekal di tangga ketiga dengan mengumpul tujuh mata. Sementara itu, Oman yang membantai Chinese Taipei dengan keputusan 3-0 mengungguli Kumpulan D dengan 12 mata.

View this post on Instagram

A post shared by FA Malaysia (@famalaysia)

Situasi ini menyebabkan Malaysia yang bercita-cita untuk mara ke pusingan berikutnya perlu mengharapkan Oman menumpaskan Kyrgyzstan pada perlawanan terakhir Kumpulan D yang dijadualkan berlangsung awal pagi pada 12 Jun (waktu Malaysia).

Pada masa yang sama, Malaysia yang beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 11 Jun (sepak mula 9 malam) pula perlu melakar kemenangan besar – jumlah gol yang perlu dijaringkan bergantung kepada gol yang dicetak oleh Oman ke atas Kyrgyzstan.

Kegagalan Malaysia berbuat sedemikian atau Kyrgyzstan berjaya melakar samada keputusan seri mahupun menang ke atas Oman maka impian ke pusingan ketiga Piala Dunia 2026 serta kelayakan awal ke saingan Piala Asia 2027 terpadam sama sekali.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen