Pasukan yang menghuni ranking ke-93 dunia, Palestin berjaya mengesahkan tempat ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia sekaligus menempa sejarah baharu bagi bola sepak negara berkenaan.
Skuad berjulukan “Lions of Canaan” bimbingan Makram Daboub mengesahkan kemaraan berkenaan selepas menamatkan perlawanan menentang Lubnan pada awal pagi tadi (waktu Malaysia) dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Keputusan itu memberikan satu mata yang berharga namun sudah memadai untuk menempatkan Palestin selaku naib juara Kumpulan I selepas menghadapi lima perlawanan dan sudah tidak mampu dipotong lagi oleh Lubnan walau apa pun keputusan terhasil pada perlawanan terakhir, 11hb Jun kelak.
Bukan itu sahaja, hasil daripada bergelar naib juara Kumpulan I, Palestin turut melayakkan diri secara automatik dengan awal ke saingan Piala Asia yang akan berlangsung di Arab Saudi pada tahun 2027.
Sebagai rekod, ini merupakan kali keempat secara berturut-turut Palestin mara ke saingan Piala Asia.
Sementara itu, untuk perlawanan terakhir bagi peringkat Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, Palestin dijadualkan berhadapan pendahulu merangkap juara Kumpulan I, Australia yang menghuni ranking ke-24 dunia.
Sepak mula perlawanan itu akan dijadualkan pada 8.10 malam (waktu Malaysia) bertempat di HBF Park, Perth.
Featured Image: AFC Asian Cup