Terbuka Indonesia: Kian Meng-Pei Jing Singkir Beregu No.8 Dunia
June 7, 2024 Hafizuddin Omar

Gandingan beregu campuran negara yang menghuni ranking ke-21 dunia, Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing muncul yang pertama mengesahkan tempat ke peringkat separuh akhir Terbuka Indonesia 2024.

Bahkan ini juga merupakan julung kalinya Kian Meng-Pei Jing melakar kemaraan ke peringkat separuh akhir dalam mana-mana kejohanan yang disertainya pada tahun ini.

Pengesahan itu hadir selepas Kian Meng-Pei Jing bertindak mengejutkan sekaligus menyingkirkan beregu No.8 dunia dari Republik Korea, Kim Won-ho dan Jeong Na-eun pada peringkat suku akhir, hari ini.

Lebih mengagumkan, Kian Meng-Pei Jing mencatatkan kemenangan dengan bergaya iaitu secara “straight set” menerusi skor 21-8 dan 21-19 dalam tempoh masa 39 minit.

Berdasarkan rekod, mereka pernah berentap sesama sendiri sebanyak empat kali sebelum ini dengan mencatatkan dua kemenangan masing-masing. 

Namun, keputusan pada hari ini menjadikan Kian Meng-Pei Jing kini mendahului rekod pertemuan kepada tiga kemenangan berbanding dua yang dilakar Kim-Jeong.

Sementara itu, bagi pertarungan di peringkat separuh akhir kelak, Kian Meng-Pei Jing akan berhadapan dengan cabaran daripada Jiang Zhen Bang dan Wei Ya Xin dari China yang menghuni ranking kelima dunia.

Komen