Terengganu FC Pulangkan Semula Duit RM1.5 Juta Daripada XFOX Market Holdings
June 11, 2024 Hafizuddin Omar

Pasukan berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC bertindak memulangkan semula wang tunai sebanyak RM1.5 juta yang merupakan tajaan daripada syarikat XFOX Market Holdings Sdn. Bhd.

Bukan itu sahaja, Terengganu yang muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu memaklumkan bersedia untuk membubarkan kerjasamanya dengan syarikat tersebut – kira-kira sehari selepas memuktamadkan kerjasamanya, semalam.

Tindakan-tindakan itu diumumkan oleh Terengganu menerusi satu kenyataan media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, pada hari ini.

“Atas persefahaman bersama, pihak Terengganu FC dan XFOX Market Holdings Sdn Bhd bersedia untuk membubarkan kembali perjanjian penajaan ini tanpa sebarang tuntutan antara kedua pihak. 

“Tindakan ini lebih kepada melihat aspek keharmonian kelab untuk mengharungi pelbagai lagi cabaran mendatang. 

“Pihak Terengganu FC akan memulangkan kembali bayaran penajaan pihak syarikat penaja sebanyak RM 1.5 juta yang telah selesai dilunaskan.” demikian kenyataan oleh pihak kelab.

Semalam, Terengganu mengumumkan mengadakan kerjasama dengan XFOX Market Holdings selaku Penaja Platinum untuk menghadapi saingan ASEAN Club Championship atau dikenali sebagai Piala Shopee musim 2024-25.

Hasil daripada kerjasama itu juga, logo XFOX Market Holdings akan dilekatkan pada jersi-kersi Terengganu sepanjang beraksi di kejohanan terbabit.

Bagaimanapun, pengumuman kerjasama itu mendapat pelbagai komen dan kritikan bukan sahaja daripada para penyokongnya malahan rakyat Malaysia amnya.

Ini berikutan XFOX Market Trust dan XFOX Market Sdn Bhd disenaraikan dalam Senarai Amaran Pengguna Kewangan (Financial Consumer Alert List) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada tarikh 14 Jun 2023.

Difahamkan, senarai tersebut terdiri daripada syarikat dan laman sesawang yang tidak dibenarkan atau diluluskan di bawah undang-undang dan pentadbiran berkaitan yang ditadbir oleh BNM.

Senarai itu juga berfungsi sebagai panduan kepada orang ramai berdasarkan maklumat dan pertanyaan yang diterima oleh BNM,

Sementara itu, Terengganu kendalian Tomislav Steibruckner dalam kenyataan yang sama pada hari ini memaklumakn akan terus berusaha untuk mendapatkan penaja lain bagi mengharungi kempen Piala Shopee.

View this post on Instagram

A post shared by Terengganu Football Club️️ (@officialterengganufc)

Komen