Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC menerima sekitar RM8 juta secara keseluruhan menerusi tajaan daripada syarikat-syarikat yang tidak berkaitan dengan kerajaan negeri untuk mengharungi saingan musim 2024-25.
Setakat hari ini, skuad berjulukan Gergasi Merah telah mengadakan kerjasama dan kolaborasi bersama hampir 40 buah syarikat secara keseluruhan.
Antara syarikat-syarikat yang tidak berkaitan kerajaan negeri bekerjasama dan berkolaborasi bersama Selangor ialah Cisco, Vizione, Daikin, Joma, TDC, Sugarbomb, Hijabistahub, Extrajoss, Konsortium e-Mutiara, Yakult, Aeon Big, 100Plus, ATF Sport Taping, G-Shock, Khind dan pelbagai lagi.
Perkara tersebut dikongsikan sendiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dalam sidang media selepas menandatangani kerjasama dengan Kumpulan Johawaki pada hari ini.
“Saya boleh katakan tajaan daripada ‘non-government’ dalam (lingkungan) RM7 juta ke RM8 juta,” katanya.

Sementara itu, Johawaki Holdings – syarikat pembinaan yang kini meluaskan perniagaannya ke pelbagai sektor – hadir selaku rakan strategik rasminya yang terbaru dengan tempoh kontrak selama selama semusim.
Antara sektor-sektor yang diceburi oleh Kumpulan Johawaki adalah penyelenggaraan jalan raya, pembangunan dan hartanah, penanaman dan perladangan, hospitaliti dan beberapa sektor yang lain lagi yang turut merangkumi perniagaan di luar negara.
Hasil pemeteraian itu, Kumpulan Johawaki akan memberikan sokongan daripada segi penajaan kewangan untuk kemudahan latihan dan pembangunan kelab.
Namun begitu, kedua-dua pihak berahsia dan menutup mulut mengenai jumlah penajaannya kepada pihak umum.
Pada masa yang sama, Dr. Johan turut melihat kerjasama dengan Johawaki akan membuka peluang dan ruang buat Selangor untuk menceburi bidang-bidang perniagaan yang ada di Negeri Selangor.
Bagi pihak Kumpulan Johawaki yang menjadi salah satu kontraktor pembinaan Stadium Tun Abdul Razak (STAR) untuk Felda United FC di Bandar Pusat Jengka, logonya akan dipamerkan pada jersi pasukan dan pelbagai aplikasi digital milik pasukan sebagai penjenamaan kepada penaja.