Selangor FC bimbingan Nidzam Jamil terpaksa berputih mata untuk menggunakan khidmat pemain import mudanya dari Jordan iaitu Reziq Banihani bagi tempoh enam minggu mendatang.
Ini berikutan pemain sayap berusia 22 tahun berkenaan mengalami kecederaan pada buku lalinya – menimpanya ketika beraksi menentang Persija Jakarta dalam satu kejohanan jemputan empat penjuru di Indonesia, pada minggu lalu.
“Reziq Alhamdulillah tiada kecederaan serius, saya rasa ada kecederaan ligamen pada buku lali tetapi tiada keretakan (mahupun) patah tulang,”
“Saya difahamkan oleh pihak doktor (proses pemulihannya) mungkin ambil masa 4 hingga 6 minggu, mungkin beliau akan terlepas satu atau dua perlawanan,” katanya ditemui oleh pihak media selepas majlis menandatangani kerjasama dengan Johawaki Holdings pada hari ini.
Reziq yang ditandatangani oleh skuad Gergasi Merah pada saat-saat akhir sebelum jendela perpindahan ditutup menjadi bualan hangat para penyokong Selangor sejak melakukan debutnya ketika bertemu Kedah Darul Aman FC di Stadium MBPJ pada 18 Mei.
Kemasukannya sebagai pemain gantian di posisi sayap kiri memberikan ancaman kepada barisan pertahanan pasukan pelawat menerusi gerakan lincahnya.
Bukan itu sahaja, Reziq turut menyerikan debutnya itu dengan mencetuskan gerakan yang menghasilkan gol tunggal perlawanan yang disudahkan oleh Aliff Haikal Loqman pada minit ke-77.
Perlawanan seterusnya, ketika menentang Negeri Sembilan FC juga di Stadium MBPJ, Reziq sekali lagi dimasukkan sebagai pemain gantian.
Namun, pemain yang beraksi bersama skuad kebangsaan Jordan bawah 23 tahun (B-23) dalam saingan Piala Asia B-23 2024 bukan sahaja meneruskan aksi memukaunya mengucar-kacirkan barisan pertahan lawan serta menjaringkan gol sulungnya buat Selangor pada masa tambahan.
“Reziq ini pun secara fizikalnya memang luar biasa sebab kita lihat dia punya kecederaannya itu agak serius lepas perlawanan (menentang Persija Jakarta) bengkak semua, tapi esok tu, (semasa perjalanan) balik (menaiki) flight dah jalan kaki,
“(Pada awalnya) dia keluar stadium pakai kerusi roda, (kemudiannya) dia balik (ke) hotel pakai crutches, esok tu balik airport (semasa) balik dari lapangan terbang (dia) dah tak pakai pape dah, jalan macam biasa je,” tambah Dr. Johan lagi.
Sebagai rekod, tempoh enam minggu untuk pulih itu akan menyebabkan Selangor tak dapat menggunakan khidmat Reziq untuk berhadapan Negeri Sembilan, Perak FC dan Kuala Lumpur City FC pada 14 Jun, 23 Jun dan 14 Julai masing-masing.
Featured Image: Selangor FC