Kelayakan Piala Dunia 2026: Keputusan Seri Oman vs Kyrgyzstan Kekang Malaysia Ke Pusingan 3
June 12, 2024 Hafizuddin Omar

Hasrat skuad bola sepak kebangsaan untuk mencipta sejarah mara buat julung kalinya ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia punah sama sekali berikutan perlawanan Oman dan Kyrgyzstan berakhir dengan keputusan seri, awal pagi tadi.

Keputusan seri 1-1 hasil jaringan Eldiyar Zarypbekov (20’) dan gol sendiri oleh Alimardon Shukurov (57’) itu pada perlawanan terakhir peringkat Kumpulan D menyebabkan Oman dan Kyrgyzstan mengumpulkan 13 dan 11 mata masing-masing.

Pungutan mata itu menobatkan mereka juara dan naib juara Kumpulan D sekaligus meraih tiket ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 serta kemaraan automatik ke Piala Asia 2027.

Sementara itu, Malaysia bimbingan Kim Pan-gon yang mencatatkan kemenangan 3-1 ke atas Chinese Taipei di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam terpaksa akur menamatkan saingan Kumpulan D di tempat ketiga dengan pungutan 10 mata.

Perlawanan yang dihadiri 14,731 penonton menyaksikan Malaysia memperolehi gol menerusi jaringan oleh Safawi Rasid (53’), Paulo Josue (69’) dan Adib Ra’op (90+6’) manakala gol tunggal oleh Chinese Taipei pula disumbangkan oleh Yu Yao-hsing (20’). 

Untuk makluman, sebelum bermulanya kempen Pusingan 2 kelayakan ini, Malaysia memasang impian untuk meletakkan dirinya dalam kelompok 18 pasukan terbaik bagi benua asia dengan mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.

Impian itu dinyatakan sendiri oleh ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon dalam sidang media sehari sebelum perlawanan pertama menentang Kyrgyzstan pada November tahun lalu.

Malaysia memulakan kempen dengan langkah kanan apabila mencatatkan kemenangan dramatik dan epik 4-3 ke atas Kygyzstan pada perlawanan pertama disusuli dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas Chinese Taipei pada perlawanan kedua Kumpulan D.

Namun, impian Malaysia untuk ke Pusingan 3 mulai samar apabila tewas kedua-dua perlawanan ketiga dan keempat Kumpulan D ketika menentang Oman di tempat lawan dan sendiri pada Mac lalu.

Ia diikuti pula dengan skuad “tempang” Malaysia tanpa beberapa tonggak utama seperti Faisal Halim, Arif Aiman, Darren Lok, Romel Morales dan Syihan Azmi terpaksa akur seri 1-1 ketika bertemu Kyrgyzstan di Bishkek pada Khamis lalu.

Walaupun impian ke Pusingan 3 telah terpadam, selaku pasukan yang menghuni tempat ketiga Kumpulan D, Malaysia bersama-sama Chinese Taipei akan ke saingan Kelayakan Asia 2027 yang akan bermula Mac tahun hadapan.

Featured Image: Football Association of Malaysia

Komen