Skuad bola sepak negara jiran tetangga, Indonesia yang menghuni ranking ke-134 dunia muncul sebagai satu-satunya pasukan dari rantau ASEAN yang melakar kemaraan ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026.
Kemaraan itu disahkan selepas mencatatkan kemenangan 2-0 ke atas Filipina di halaman sendiri pada perlawanan terakhirnya dalam Kumpulan F, semalam.
Kemenangan skuad bimbingan Shin Tae-yong dari Republik Korea itu disumbangkan menerusi jaringan oleh pemain berdarah campuran kelahiran Belanda, Thom Haye dan pertahanan berusia 22 tahun, Rizky Ridho pada minit ke-32 dan ke-56 masing-masing.
Kemenangan itu membolehkan Indonesia muncul naib juara Kumpulan F hasil mengumpulkan 10 mata daripada enam perlawanan.
Turut sama mengiringi Indonesia ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia daripada Kumpulan F ialah Iraq yang muncul juara Kumpulan F dengan meraih 18 mata hasil mencetak enam kemenangan berturut-turut.
Sementara itu, Vietnam yang berjaya mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2022 terpaksa akur menamatkan saingan di tempat ketiga Kumpulan F susulan mengumpul enam mata daripada kempen kali ini.
Manakala Filipina pula di tangga tercorot Kumpulan F dengan hanya memungut satu mata sahaja.
Perkembangan melibatkan pasukan-pasukan ASEAN yang lain menyaksikan Thailand dan Singapura turut sama gagal ke pusingan seterusnya selepas sekadar menghuni tangga ketiga dan keempat Kumpulan C dengan mengumpul lapan dan satu mata masing-masing.
Sebuah lagi pasukan, Myanmar pula menduduki tempat tercorot Kumpulan juga dengan mengutip satu mata sahaja.
Senarai lengkap 18 pasukan yang mara ke Pusingan 3 Kelayakan Piala Dunia 2026 dan meraih tiket awal ke saingan Piala Asia 2027 ialah Qatar, Kuwait, Jepun, Republik Rakyat Demokratik Korea (Korea Utara), Republik Korea, China, Oman, Kyrgyzstan, Iran, Uzbekistan, Iraq, Indonesia, Jordan, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Australia dan Palestin.
Featured Image: Erick Thohir