Terbuka Australia: Zii Jia Jumpa Joo Ven Pada Pusingan 16
June 12, 2024 Hafizuddin Omar

Pemain perseorangan badminton lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia berhasil memulakan kempen Terbuka Australia 2024 – Jelajah Dunia BWF Super 500 – dengan langkah kanan.

Bagaimanapun, langkah tersebut tidak dilakarnya dengan mudah dimana Zii Jia terpaksa bertarung lebih satu jam lamanya sebelum dapat menumpaskan pemain berusia 20 tahun dari India, S. Sankar Muthusamy Subramanian.

Pertarungan pada peringkat pusingan 32 itu menyaksikan Zii Jia merakamkan kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-16. 

Akan tetapi, pertarungan yang berlangsung di Quaycentre, Sydney Olympic Park terpaksa dilanjutkan ke set penentuan ekoran penghuni ranking ke-77 dunia itu berjaya menumpaskan Zii Jia menerusi skor 21-18 pada set kedua.

Bagaimanapun, set ketiga mudah dimenangi pemain yang menghuni ranking kelapan dunia ini melalui skor 21-10 sekaligus meraih tiket ke pusingan berikutnya. 

Sementara itu, pada pusingan 16 kelak, Zii Jia yang merupakan wakil negara ke Sukan Olimpik dalam acara badminton kategori perseorangan lelaki akan bertemu rakan senegara, Soon Joo Ven – ranking ke-78 dunia.

Meninjau kepada rekod pertemuan, Zii Jia sudah pernah bertarung sebanyak dua kali menentang Joo Ven dan kedua-duanya berakhir dengan kemenangan. 

Terdahulu Joo Ven melakar kemaraan susulan menumpaskan pemain Kanada berusia 19 tahun yang menduduki ranking ke-90 dunia, Vicor Lai secara “straight set” menerusi skor 21-12 dan 21-16.

Featured Image: Facebook Victor

Komen