Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) mengambil inisiatif memperkenalkan semula kaedah penyaluran peruntukan kewangan kepada Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) melalui kaedah “empowerment” (pemberian kuasa).
Pengenalan semula kaedah yang memberikan kuasa kepada PSK untuk menguruskan peruntukan diterima daripada KBS menerusi MSN oleh persatuan masing-masing sekaligus memudahkan perancangan aktiviti tahunan diumumkan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, baru-baru ini.
Kaedah ini bakal menyaksikan peruntukan akan disalurkan kepada PSK setiap empat bulan untuk kegunaan program Podium dan Pelapis Kebangsaan bagi tahun 2024 melibatkan 19 PSK serta 23 jenis disiplin sukan.
Dimaklumkan, penyaluran peruntukan kewangan itu akan dibuat bagi bulan Januari-April, Mei-Ogos dan September-Disember. Bagaimanapun, untuk tahun ini, penyaluran akan dibuat bermula bulan Mei-Ogos diikuti dengan September-Disember.
Senarai 19 buah PSK yang akan menerima peruntukan kewangan melalui kaedah “empowerment” adalah seperti berikut:
- Persekutuan Renang Malaysia
- Persekutuan Angkat Berat Malaysia
- Persatuan Badminton Malaysia
- Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia
- Persekutuan Gimnastik Malaysia
- Konfederasi Hoki Malaysia
- Persekutuan Karate Malaysia
- Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia
- Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia
- Kesatuan Olahraga Malaysia
- Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia
- Persatuan Pelayaran Malaysia
- Persatuan Ping Pong Malaysia
- Persatuan Sepak Takraw Malaysia
- Persatuan Squash Malaysia
- Taekwando Malaysia
- Kongres Tenpin Boling Malaysia
- Persekutuan Tinju Malaysia
- Persekutuan Wushu Malaysia
Jelas Hannah, kaedah ini tidak lain dan tidak bukan untuk memastikan program latihan yang dirancang dapat dilaksanakan dengan lebih tersusun serta terancang.
Antara elemen-elemen bantuan yang disalurkan adalah pengurusan atlet, pengurusan jurulatih, pengurusan pusat, pengurusan prestasi (latihan dan pertandingan), program binaan dan khidmat sokongan berteraskan konsep akauntabiliti dan tanggungjawab oleh PSK.
“Antara kelebihan dalam pelaksanaan kaedah ini adalah penyaluran bantuan kewangan berbentuk geran ini akan mengurangkan proses kerja samada di peringkat MSN mahupun PSK.”
“Sebagai contoh, peruntukan yang disalurkan akan memudahkan proses tempahan tiket kapal terbang yang lebih menjimatkan berbanding pembelian saat akhir.”
“Proses pendaftaran pasukan ke kejohanan antarabangsa juga dapat dilakukan dengan lebih awal tanpa sebarang denda kelewatan.”
“Dengan kemudahan ini, saya amat harapkan PSK mampu mematuhi peraturan kewangan yang ditetapkan oleh MSN. PSK juga mestilah berbelanja berdasarkan kelulusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Sukan (JKK).”
“Tidak lupa juga tanggungjawab ke atas pelaporan peruntukan berdasarkan tatacara kewangan yang ditetapkan.” kata Hannah ketika berucap memperkenalkan kembali kaedah ini.
Difahamkan, sebelum ini, KBS menerusi MSN melaksanakan pemberian peruntukan kewangan kepada PSK menggunakan kaedah tuntutan (claim).
Sebagai rekod, kaedah penyaluran sebegini pernah dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) kepada PSK untuk pelaksanaan program Kita Juara 2017.
Pada masa itu, sebanyak 42 jenis sukan yang terlibat sebagai persediaan ke temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017. Kaedah ini diteruskan sehingga tahun 2019.
Featured Image: Majlis Sukan Negara Malaysia