Panas dan pedih! Itulah yang gambaran kesakitan dialami tonggak Selangor FC dan skuad kebangsaan, Faisal Halim selepas disimbah asid oleh orang yang tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah pada awal bulan lalu.
Penyerang sayap yang berusia 26 tahun dan berasal dari Pulau Pinang itu berkongsikan detik ngeri tersebut ketika muncul buat julung kalinya di hadapan khalayak ramai menerusi satu sidang media khas selepas insiden tersebut.
Faisal atau turut dikenali sebagai Mickey membuat kemunculan itu kira-kira tiga minggu selepas dibenarkan keluar dari Avisena Specialist Hospital setelah menjalani empat pembedahan untuk merawat luka lecuran tahap empat.
“Kalau boleh saya dah tak nak ingat insiden ini dan saya tak nak involve (terlibat) lagi berkenaan dengan apa yang berlaku terhadap saya,”
“Pertama sekali waktu saya mula-mula kena (simbahan asid) saya merasakan panas dan pedih, kemudian saya menahan kesakitan, ada dua tiga orang datang kata, tak apa ini tak bahaya, saya macam… okey, ini tak bahaya, macam rileks, semangat,”
“Kemudian, bila benda dah berlaku benda ini sangat-sangat bahaya dan luar biasa,” katanya dalam sidang media yang turut ditemani Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Dato’ Sri Shahril Mokhtar serta doktor pasukan, Dr. Hazwan Khair dan peguam, Haijan Omar, semalam.
Dalam sidang media itu, pihak kelab turut mendedahkan foto-foto perkembangan rawatan melibatkan lengan, dada dan muka Faisal ketika di hospital yang menunjukkan dengan jelas keseriusan kesan daripada simbahan asid tersebut.
“Selepas kejadian kehidupan saya agak berbeza, saya tidak boleh makan dengan sendiri, saya tidak boleh ke toilet (tandas) dengan sendiri, apa-apa yang saya nak lakukan saya memerlukan bantuan,” tambahnya.
Pemain yang pernah beraksi bersama Terengganu FC dan Pahang (kini dikenali sebagai Sri Pahang FC) berkata kesemua perkara itu terpaksa dilakukan dengan bantuan ahli keluarga terutamanya isterinya yang menjaganya sejak hari pertama dia ditimpa musibah berkenaan sehingga ke hari ini.
Featured Image: Selangor FC