Harap Kembali Ke Padang Dalam Masa Sebulan – Faisal Halim
June 14, 2024 Hafizuddin Omar

Pemenang anugerah Gol Terbaik Kejohanan bagi saingan Piala Asia 2023, Faisal Halim yang kini dalam proses pemulihan selepas disimbah asid ternyata tidak sabar untuk kembali ke padang sekaligus meneruskan karier bola sepaknya.

Ketidaksabarannya itu dapat dilihat menerusi sasaran yang diletakkan oleh pemain berusia 26 tahun itu sendiri untuk kembali ke padang dalam tempoh tidak lebih dari dua bulan lagi.

Faisal mendedahkan dirinya sudah mula melakukan latihan ringan seperti berkayuh basikal di rumahnya sendiri bermula semalam.

“Saya punya harapan dalam masa satu bulan atau satu bulan lebih, saya nak kembali ke padang, itu harapan saya, harapan faisal halim,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Pusat Latihan Selangor FC, semalam.

Faisal atau terkenal nama panggilan Mickey berkongsikan bahawa doktor memaklumkan kepadanya untuk berehat antara tiga hingga enam bulan untuk pulih sepenuhnya daripada luka lecuran tahap empat ekoran simbahan asid terbabit. 

Namun begitu, tempoh rehat selama itu satu perkara yang tidak dapat diterima olehnya.

@sukanzcom

Pada awalnya, doktor memaklumkan Faisal perlu berehat selama tiga hingga enam bulan #SukanDiTikTok

♬ original sound – Sukanz – Sukanz

“Apabila seorang pemain mendengar jawapan sebegitu memang pada saya agak sukar untuk menerimanya,” 

“Sepanjang karier saya, saya tak pernah break (rehat) lebih daripada satu bulan terutama sekali dua tahun kebelakangan ini,” 

“Saya memang kurang berehat, tapi apabila semua panggilan (skuad kebangsaan) saya pergi, semua tournament (kejohanan) saya pergi, kelab mahupun pasukan kebangsaan,” 

“Apa-apa berkenaan dengan bola sepak saya tidak pernah mengambil cuti walaupun saya demam walaupun saya pening, saya tetap berada di atas padang, kalau nak tahu boleh tanya di pihak kelab,” 

“Tahun lepas pernah ke saya mintak mc (sijil sakit) untuk cuti kerana demam, walaupun demam saya tetap datang ke padang,“ katanya dalam sidang media tersebut.”

Tambah Faisal lagi, dia merasakan tahap kesembuhan dan kemajuan pemulihannya berlaku pantas dan perkara itu disifatkannya sebagai berkat doa daripada orang ramai terutamanya umat islam di negara ini yang bersolat hajat, membacakan surah Yasin serta doa selamat untuknya.

“Saya rasa doa-doa itulah memberikan saya satu semangat dan kesembuhan (buat) saya,” ujarnya.

Featured Image: Selangor FC

Komen