Lee Zii Jia Juara Terbuka Australia 2024 – Raih RM148,459
June 16, 2024 Hafizuddin Omar

Perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia menambah satu lagi kejuaraan dalam kariernya apabila muncul juara Terbuka Australia 2024 sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM148,459.

Gelaran terbarunya itu muncul setelah berjaya menumpaskan pemain yang menghuni ranking keenam dunia, Kodai Naraoka dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Quaycentre, Sydney Olympic Park, hari ini.

Dalam pertarungan tersebut, Zii Jia, 26 tahun, yang akan mewakili Malaysia di temasya Sukan Olimpik 2024 bermula dengan langkah kanan apabila mencatatkan kemenangan pada set pertama menerusi skor 21-19.

Bagaimanapun, pemain dari negara matahari terbit berkenaan berhasil bangkit pada set kedua untuk meraih kemenangan menerusi skor 21-11 sekaligus mengheret penentuan gelaran juara ke set ketiga.

Pada set berikutnya, Zii Jia berhasil mendahului pada awal permainan namun dikejar menghampiri penghujung permainan.

Akan tetapi, tekad Zii Jia untuk muncul juara di kejohanan ini ternyata tinggi dan berhasil menamatkan set tersebut dengan menerusi skor 21-18 sekaligus mengesahkan gelaran juara buatnya di kejohanan Jelajah Dunia BWF Super 500 itu.

Pada masa yang sama, kemenangan ke atas Kodai pada hari ini membolehkannya menyamai rekod pertembungan di pentas antarabangsa menjadi tiga kemenangan masing-masing. 

Sebagai rekod, ini merupakan gelaran juara kelapan dirangkul dalam karier seniornya selepas muncul juara kejohanan Antarabangsa Poland 2017, Terbuka Chinese Taipei 2018,  Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2021, Kejohanan Badminton Asia 2022, Terbuka Thailand 2022, Terbuka Arktik 2023 dan Terbuka Thailand 2024.

Featured Image: Sathio Group Australian Badminton Open

Komen