Pengurus Arsenal Teringin Nak Main Sepak Takraw
Hafiz Omar
Permainan yang unik dan sinonim dimainkan di rantau asia tenggara, sepak takraw seringkali menimbulkan kekaguman kepada ‘mat-mat dan minah-minah salih’.
Lebih-lebih lagi apabila permainan ini memaksa para pemain untuk melakukan servis, timbangan, sepakan, tandukan serta libasan yang berakrobatik agar dapat mematikan bola di dalam kawasan lawan.
Perkara yang sama turut ditonjolkan oleh pengurus Arsenal, Mikel Arteta apabila ditunjukkan video pendek mengenai permainan tersebut ketika ditemu bual oleh wartawan Astro, Adam Carruthers.
Malahan Arteta yang membimbing skuad berjulukan The Gunners muncul naib juara Premier League dua musim berturut-turut turut berkeinginan untuk mencuba permainan tersebut selepas menonton video terbabit.
“Pertama sekali, ianya kebolehan atletik yang luar biasa!
“Untuk melakukan apa yang mereka lakukan, teknik dan permainan yang menakjubkan,”
“Saya ingin mencubanya, iya, sudah pasti,” katanya kepada Adam menerusi satu video pendek yang dikongsikan oleh Astro Arena di beberapa platform media sosialnya.
Bagaimanapun, Arteta yang berusia 42 tahun mengangkat bendera putih dengan lebih awal apabila ditanya samada dapat melakukan aksi-aksi libasan seperti ditonjolkan pemain-pemain Sepak Takraw League (STL) tersebut.
“Bukan seperti itu, tetapi, saya akan cuba yang terbaik, saya memang teringin nak main permainan ini,”
“Saya akan cuba dahulu sebelum pemain-pemain saya,” ujarnya lagi sambil ketawa kecil bersama Adam.
Sebagai tambahan, ensiklopedia Britannica menerangkan permainan sepak takraw hampir sama dengan permainan bola tampar tetapi dimainkan menggunakan bola rotan tanpa menggunakan tangan.
Featured Image: Arsenal