Kelab gergasi bola sepak Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan membawa pulang wang tunai sekurang-kurangnya AS$800,000 atau bersamaan sekitar RM3.77 juta hasil beraksi di Liga Juara-Juara AFC Elit (ACL Elite) 2024-25.
Wang tunai tersebut dijanjikan oleh penganjur iaitu Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kepada kesemua 24 kelab yang menyertai kejohanan ulung tersebut biarpun sekadar beraksi pada Peringkat Liga (League Stage) sahaja.

Sekiranya skuad berjulukan Harimau Selatan berhasil melangkah ke Pusingan 16 maka skuad bimbingan Hector Bidoglio akan mendapat tambahan wang tunai sebanyak AS$200,000 atau bersamaan sekitar RM942,000.
Manakala kelab yang melakar kemaraan ke peringkat suku akhir dan separuh akhir pula akan mendapat tambahan wang tunai sebanyak AS$400,000 (RM1.88 juta) dan AS$600,000 (RM2.82 juta) masing-masing.
Sementara itu, naib juara dan juara ACL Elite akan membawa pulang tambahan AS$4,000,000 (RM18.83 juta) dan AS$10,000,000 (RM47.08 juta) masing-masing.
Pada hari ini, AFC turut berkongsikan senarai penuh kelab-kelab yang mengesahkan tempat serta mengharungi peringkat kelayakan ACL Elite dari rantau asia barat dan asia timur.
Senarai penuh kelab-kelab tersebut adalah seperti berikut:
Asia Barat:
- Al Hilal SFC (Arab Saudi)
- Al Nassr (Arab Saudi)
- Al Ahli Saudi FC (Arab Saudi)
- Al Sadd (Qatar)
- Al Rayyan (Qatar)
- Persepolis FC (Iran)
- Esteghlal FC (Iran)
- Al Ain FC (Emiriah Arab Bersatu)
- Al Wasl FC (Emiriah Arab Bersatu)
- FC Pakhtakor (Uzbekistan)
- TBC (Iraq)
Pusingan Kelayakan:
- Al Gharafa (Qatar)
- Shabab Al Ahli (Emiriah Arab Bersatu)
- TBC (Iran)

Asia Timur:
- Vissel Kobe (Jepun)
- Kawasaki Frontale (Jepun)
- Yokohama F. Marinos (Jepun)
- Ulsan HD FC (Republik Korea)
- FC Pohang Steelers (Republik Korea)
- Gwangju FC (Republik Korea)
- Shanghai Port FC (China)
- Shanghai Shenhua FC (China)
- Buriram United (Thailand)
- Central Coast Mariners (Australia)
- Johor Darul Ta’zim (Malaysia)
Pusingan Kelayakan
- Shandong Taishan FC (China)
- Bangkok United (Thailand)
Majlis undian bagi Peringkat Liga akan dilangsungkan pada 16 Ogos 2024 namun perincian mengenai mekanisme undian akan diumumkan dalam masa yang terdekat.
Sebagai tambahan, pusingan kelayakan akan dilangsungkan pada 6hb dan 13hb Ogos manakala Peringkat Liga yang melibatkan lapan perlawanan pula akan dijadualkan dari 16hb-18hb September 2024 hingga 17hb-19hb Februari 2025.
Pusingan 16 pula akan diadakan secara timbal balik pada 3hb-5hb Mac 2025 dan 10hb-12hb Mac 2025 masing-masing. Saingan suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir yang akan berlangsung secara berpusat di Arab Saudi pula akan dianjurkan bermula dari 25hb April 2025 hingga 4hb Mei 2025.
Featured Image: Johor Southern Tigers