Selangor FC ‘Gerenti’ Dapat RM1.41 Juta Main Di ACL2 2024-25
June 19, 2024 Hafizuddin Omar

Naib juara Liga Super 2023, Selangor FC akan mendapat habuan minimum sebanyak RM1.41 juta hasil daripada beraksi pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) 2024-25.

Sekiranya skuad Gergasi Merah bimbingan Nidzam Jamil terbabit berhasil meloloskan diri ke Pusingan 16 maka tambahan sebanyak AS$80,000 (RM376,640) akan diberikan oleh penganjur, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Tidak terhenti setakat itu, habuan tambahan sebanyak AS$160,000 (RM753,280) dan AS$240,000 (RM1.13 juta) akan masuk ke dalam kantung Selangor sekiranya mara ke peringkat suku akhir dan separuh akhir masing-masing.

Sementara itu, naib juara dan juara pula akan membawa pulang habuan tambahan bernilai AS$1,000,000 (RM4.71 juta) dan AS$2,500,000 (RM11.77 juta) masing-masing.

Pada masa yang sama, AFC pada hari ini turut mengesahkan penyertaan 16 daripada 32 kelab secara terus ke peringkat kumpulan saingan ACL2 sementara beberapa kelab lain akan disahkan kemudian termasuk perlu melalui peringkat kelayakan terlebih dahulu. Senarai kelab-kelab tersebut adalah seperti berikut:

Asia Barat:

  1. Al Taawoun FC (Arab Saudi)
  2. Al Wakrah (Arab Saudi)
  3. TBC (Iran)
  4. Sharjah FC (Emiriah Arab Bersatu)
  5. FC Nasaf (Uzbekistan)
  6. TBC (Iraq)
  7. Al Hussein (Jordan)
  8. FC Istiklol (Tajikistan)
  9. Mohun Bagan Super Giant (India)
  10. Al Khaldiya SC (Bahrain)

Pusingan Kelayakan:

  1. TBC (Jordan)
  2. FC Ravshan (Tajikistan)
  3. East Bengal FC (India)
  4. Al Ahli (Bahrain)
  5. Kuwait SC (Kuwait)
  6. Altyn Asyr FC (Turkmenistan)

Asia Timur:

  1. Sanfrecce Hiroshima (Jepun)
  2. Jeonbuk Hyundai Motors FC (Republik Korea)
  3. Zhejiang FC (China)
  4. Port FC (Thailand)
  5. Sydney FC (Australia)
  6. Selangor FC (Malaysia)
  7. TBC (Vietnam)
  8. Lee Man (Hong Kong)
  9. TBC (Filipina)
  10. Lion City Sailors FC (Singapura)

Pusingan Kelayakan:

  1. TBC (Vietnam)
  2. Eastern (Hong Kong)
  3. Tampines Rovers FC (Singapura)
  4. Persib Bandung (Indonesia)

Pihak penganjur turut memaklumkan majlis undian ACL2 akan berlangsung pada 16 Ogos kelak namun perincian mengenai mekanisme undiannya akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sebagai tambahan, ACL2 yang dahulunya dikenali sebagai Piala AFC akan menggunakan format berlainan daripada saingan ACL Elite.

32 kelab yang bertanding akan dibahagikan kepada lapan kumpulan – empat kumpulan dari asia barat dan asia timur masing-masing – dengan setiap kumpulan diisikan empat buah kelab.

Pada peringkat kumpulan, saingan akan dilangsungkan menggunakan format “double round-robin” iaitu menentang setiap pasukan di “home” dan “away”. Saingan ini dijadualkan berlangsung dari 1hb-3hb Oktober sehingga 3hb-5hb Disember 2024.

Kelab yang muncul juara dan naib juara kumpulan akan ke pusingan 16 yang akan dilangsungkan secara timbal balik pada 11hb-13hb Februari dan 18hb-20hb Februari tahun hadapan masing-masing.

Saingan suku akhir dan separuh akhir turut berlangsung secara timbal balik di “home” dan “away”. Ianya dijadualkan berlangsung pada 4hb-6hb dan 11hb-13hb Mac masing-masing.

Akhir sekali, perlawanan yang akan menentukan juara ACL2 pula akan berlangsung secara “single leg” pada 17 Mei 2025.

Featured Image: Selangor FC

Komen